WASHINGTON: Syarikat gergasi teknologi Apple menghantar pemberitahuan ancaman siber terbaharu kepada pengguna di 84 negara, sebagai langkah melindungi pelanggan daripada ancaman pengawasan.
Apple adalah satu daripada beberapa syarikat teknologi yang kerap mengeluarkan amaran kepada pengguna yang mungkin menjadi sasaran penggodam yang disokong negara.
Kenyataan Apple, yang memaklumkan amaran itu dikeluarkan pada 2 Disember, tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai dakwaan pengawasan, termasuk jumlah pengguna disasarkan atau identiti pihak disyaki melakukan penggodaman.
Gelombang amaran terdahulu mencetuskan liputan meluas dan menimbulkan siasatan oleh badan-badan kerajaan, termasuk Kesatuan Eropah (EU), di mana pegawai kanan mereka sebelum ini menjadi sasaran perisian intip.
Dalam kenyataannya, Apple berkata, setakat ini ia memberitahu pengguna di lebih 150 negara secara keseluruhan.- AGENSI










