KUALA LUMPUR: Kolej UNIKOP berperanan melahirkan graduan dalam bidang penguatkuasaan yang mempunyai integriti, kualiti, jati diri dan kekuatan jiwa.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, peranan itu dizahirkan melalui penawaran bidang pengajian dan kurikulum yang relevan dan praktikal, selari dengan keperluan semasa sektor penguatkuasaan negara.
Beliau berkata, di Kolej UNIKOP, graduan diasuh minda serta diperkasa jiwa mereka agar lagi sebagai modal insan berintegriti dan berkualiti.
“Semoga pencapaian para graduan pada hari ini menjadi obor yang menerangi langkah menuju kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Kolej UNIKOP Ke-5 bertemakan `Sebuah Legasi Kejayaan, Melakar Masa Depan’ di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mohd Khalid turut menyuarakan hasrat untuk melihat Kolej UNIKOP berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan bertaraf antarabangsa.
“Hasrat ini memerlukan sokongan, bantuan dan kerjasama daripada seluruh kepimpinan PDRM, para graduan serta ahli keluarga yang banyak menyumbang kepada kemajuan UNIKOP,” katanya.
Pada majlis yang berlangsung selama dua hari ini, seramai 1,005 graduan daripada pelbagai bidang menerima diploma masing-masing.
Pada majlis tersebut, Julia Qistina Haiqal Mohd. Hafiz, graduan diploma perkhidmatan penyiasatan (Diploma Investigation Services) menerima Anugerah Ketua Polis Negara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta syiling emas.
Selain itu, 10 graduan lain turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM200 serta jongkong perak. – UTUSAN









