Penerjun udara tergantung pada ekor pesawat

Penerjun udara tergantung pada ekor pesawat

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan seorang penerjun udara tergantung ribuan meter di udara selepas payung terjunnya tersangkut pada ekor pesawat.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Rakaman mendebarkan yang dikeluarkan pihak berkuasa Australia menunjukkan detik cemas seorang penerjun udara tergantung pada ketinggian ribuan meter selepas payung terjun miliknya tersangkut pada ekor pesawat.

Penerjun itu terselamat dalam insiden yang berlaku di selatan Cairns pada September lalu, namun rakaman tersebut hanya didedahkan semalam susulan siasatan yang dijalankan oleh badan pemantau keselamatan pengangkutan.

Perancangan untuk melakukan formasi 16 orang pada ketinggian 4,600 meter yang dirakam oleh seorang jurukamera terjun udara bertukar kecoh dalam beberapa saat selepas peserta pertama tiba di pintu keluar pesawat.

Video yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia menunjukkan payung terjun simpanan peserta tersebut diaktifkan selepas pemegangnya tersangkut pada ekor pesawat.

Penerjun itu tercampak ke belakang dengan kakinya terkena badan pesawat ketika payung terjun simpanan berwarna jingga itu melilit ekor pesawat.

Penerjun itu juga melanggar jurukamera, yang ketika itu berada di sisi pesawat dan bersedia untuk terjun, menyebabkan jurukamera tersebut jatuh bebas, menurut laporan biro itu yang tidak mendedahkan nama, umur atau jantina mereka yang terlibat.

Penerjun itu dilihat meletakkan tangan di topi keledar selama beberapa saat, seolah-olah terkejut.

Ketika tergantung di atas ketinggian yang menggerunkan, penerjun itu pantas memotong tali payung terjun simpanan menggunakan pisau cangkuk sebelum berjaya melepaskan diri.

Penerjun itu kemudian mengaktifkan payung terjun utama dan mendarat dengan selamat.

“Membawa pisau cangkuk walaupun bukan syarat peraturan boleh menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku pengaktifan awal payung terjun simpanan,” kata Ketua Pesuruhjaya biro itu, Angus Mitchell.

Ekor pesawat tersebut dilaporkan rosak teruk akibat insiden tersebut dan juruterbang mempunyai kawalan terhad ke atas pesawat berkenaan, lalu mengeluarkan panggilan kecemasan mayday, namun tetap berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN