Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati hanya kekasih, ada 10 rekod jenayah

Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati hanya kekasih, ada 10 rekod jenayah

DZULKHAIRI Mukhtar ketika menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125ZR Melaka Attack 2025 yang berlangsung di Dataran MITC, Ayer Keroh, Melaka malam tadi. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Salah seorang wanita yang menuntut siasatan terhadap tiga penjenayah ditembak mati di Durian Tunggal pada 24 November lalu dengan mendakwa kononnya dia ialah isteri salah seorang si mati, sebenarnya hanyalah kekasih dan mempunyai 10 rekod jenayah termasuk kesalahan cubaan membunuh.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita berusia 31 tahun itu tidak mempunyai sebarang hubungan perkahwinan, sebaliknya hanya tinggal bersama sebagai pasangan kekasih sejak kira-kira tiga tahun lalu.

“Wanita itu mempunyai rekod jenayah sejak 2012 membabitkan kes curi kenderaan, samun, cubaan bunuh serta satu tangkapan baharu di Jasin pada Julai 2025.

“Bekas isteri sebenar salah seorang penjenayah yang ditembak mati itu berada di Johor dan sudah lama ditinggalkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125ZR Melaka Attack 2025 di Dataran MITC, Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Kejadian tembakan itu berlaku pada 24 November lalu apabila tiga penjenayah dikehendaki membabitkan kes samun didakwa menyerang anggota polis ketika cuba ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal kira-kira pukul 4 pagi.

Seorang anggota polis mengalami kecederaan serius pada tangan kiri selepas ditetak suspek semasa operasi tersebut. Ketiga-tiga suspek kemudiannya ditembak mati oleh polis.

Susulan kejadian, pasukan peguam yang mewakili keluarga iaitu isteri-isteri kepada tiga lelaki berkenaan menuntut Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menyiasat kematian suami mereka dengan mendakwa terdapat unsur salah laku berdasarkan bukti audio dan forensik.

Rakaman audio berdurasi 13 minit itu didakwa dirakam semasa kejadian.

Dzulkhairi berkata, bapa wanita terbabit pula mempunyai 24 rekod jenayah termasuk kes bunuh dan kini diburu polis bagi siasatan kes curi kenderaan serta curi dalam bangunan.

“Polis Melaka telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar. Kita tidak campur tangan, semuanya dijalankan oleh Bukit Aman.

“Cuma bagi kes bapa wanita tersebut, pasukan kita masih menjalankan siasatan termasuk kes curi lori,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN