PANAMA CITY: Dua syarikat penerbangan Panama mengumumkan penangguhan penerbangan ke Venezuela selama dua hari, menyertai beberapa syarikat lain ketika Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas negara itu.
Copa Airlines dan anak syarikat tambang rendahnya, Wingo, berkata mereka akan menghentikan penerbangan dari dan ke Caracas pada Khamis serta Jumaat selepas juruterbang melaporkan gangguan isyarat navigasi.
Penangguhan itu dibuat sebagai ‘langkah berjaga-jaga’, menurut syarikat penerbangan, yang berjanji akan memberikan maklumat lanjut dalam tempoh 24 jam.
Sejak Ogos, AS menghantar kapal perang berhampiran Venezuela atas alasan membanteras penyeludupan dadah.
Presiden AS, Donald Trump, menuduh rakan sejawatannya, Nicolas Maduro mengetuai kartel dadah, namun dinafikan oleh Venezuela.
Pihak Caracas pula menegaskan Washington sebenarnya bermotifkan usaha untuk menggulingkan Maduro dan merampas kawalan terhadap sumber minyak negara itu.
Ketegangan meningkat pada Sabtu lalu apabila Trump memberi amaran ruang udara Venezuela harus dianggap ‘ditutup’.
Minggu lalu, pihak berkuasa penerbangan AS menasihatkan pesawat awam supaya berhati-hati ketika berada di ruang udara Venezuela berikutan keadaan keselamatan yang semakin merosot dan peningkatan aktiviti ketenteraan di dalam atau sekitar negara tersebut.
Amaran itu mendorong beberapa syarikat penerbangan menghentikan operasi ke Venezuela, termasuk Iberia dan Air Europa dari Sepanyol, TAP dari Portugal, Avianca dari Colombia, GOL dari Brazil, Latam dari Chile serta Turkish Airlines.
Susulan itu, Venezuela membatalkan hak operasi beberapa syarikat penerbangan tersebut, menuduh mereka tunduk kepada ‘keganasan negara’ oleh AS.- AFP










