STOCKHOLM: Seorang pemuzik dari Sweden mencuri perhatian selepas berjaya mengajar sotong kurita peliharaannya bermain piano, satu projek yang disifatkannya sebagai perkara aneh paling hebat pernah dilakukannya.
YouTuber, Mattias Krantz yang terkenal dengan kandungan berkaitan pengubahsuaian dan permainan alat muzik, mengambil masa enam bulan untuk melatih sotong bernama Takoyaki, atau Tako, menggunakan papan kekunci khas yang direka untuk haiwan itu.
Menurut Krantz, dia membeli sotong kurita tersebut daripada sebuah perikanan di Portugal pada Mac lalu, walaupun dalam videonya ditunjukkan seolah-olah dia mencarinya di pasar makanan laut di Korea Selatan.
Katanya, proses mendapatkan kepercayaan Tako mengambil masa, manakala cabaran lebih besar adalah menarik minat sotong itu untuk menggunakan piano yang dilengkapi tuas bagi membolehkannya ditekan menggunakan sesungut.
Pada peringkat awal, Tako hanya mampu memainkan satu atau dua nota pada satu-satu masa. Krantz cuba menarik perhatiannya dengan gelembung air, namun kemajuan sebenar hanya berlaku pada Ogos lalu apabila dia memasang apa yang digelar sebagai ‘lif ketam’ di dalam tangki tersebut.
Peranti itu akan menurunkan seekor ketam yang menjadi makanan kegemaran Tako sedikit demi sedikit melalui tiub setiap kali sotong tersebut memainkan satu nota piano.
Krantz turut mengiringi permainan piano Tako dengan gitar, malah berjaya mengajarnya memainkan susunan nota lagu kanak-kanak terkenal Baby Shark, walaupun mengakui rentaknya tidak begitu tepat.
“Ia mungkin perkara paling teruk yang pernah saya lakukan, dan pada masa yang sama paling hebat. Saya tidak pernah mencabar diri sehingga ke tahap ini,” katanya kepada The Washington Post.










