Pemotong rumput mengaku lakukan sumbang mahram dengan adik

Pemotong rumput mengaku lakukan sumbang mahram dengan adik

TERTUDUH dibawa oleh anggota polis untuk menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pemotong rumput mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik kandungnya yang berusia 25 tahun di Machang pada 17 Disember lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang cahaya mata itu didakwa melakukan persetubuhan dengan adik kandung yang berusia 25 tahun apabila perhubungan tersebut adalah tidak dibenarkan mengikut undang-undang dan hukum agama untuk berkahwin dengannya.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik tidur sebuah rumah di Machang dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada 17 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Syafiqah tidak mencadangkan jaminan kerana pertuduhan dihadapi tertuduh merupakan kes yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana jaminan tersebut memberi risiko kepada adik kandungnya dan tertuduh perlu menjarakkan diri daripada mangsa.

Mahkamah menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan fakta kes dan jatuh hukum.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN