BERLIN: Ratusan pelajar sekolah di seluruh Jerman sanggup ponteng kelas pada Jumaat untuk membantah pembaharuan kerajaan mengenai perkhidmatan ketenteraan.
Pada hari sama, Parlimen Jerman, Bundestag, meluluskan pindaan undang-undang khidmat ketenteraan secara sukarela, dalam usaha memperkukuh pertahanan negara susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Langkah itu bertujuan meningkatkan bilangan tentera Jerman kepada kira-kira 260,000, berbanding 180,000 ketika ini, selain tambahan 200,000 anggota simpanan menjelang 2035.
Rang undang-undang kontroversi itu diluluskan dengan majoriti yang agak kukuh selepas 323 anggota Parlimen mengundi sokong, 272 menolak dan seorang berkecuali.
Langkah memperluas perkhidmatan ketenteraan itu mencetuskan protes pelajar di 90 bandar seluruh Jerman, termasuk Berlin, Cologne dan Kassel.
Menurut polis Berlin, kira-kira 800 orang berkumpul bagi membantah pembaharuan itu pada Jumaat, dan jumlah bertambah di beberapa bandar lain.
“Ahli politik dan tentera membincangkan langkah memperkenal semula khidmat ketenteraan, namun tiada siapa yang bertanya pandangan kami,” kata penganjur protes, Schulstreik gegen Wehrpflicht, di laman webnya.
Seorang pelajar sekolah menengah dari sebuah bandar di Brandenburg, Martin, berkata dia sanggup tidak hadir ke sekolah untuk menyertai bantahan berkenaan.
“Mengapa konflik perlu diselesaikan dengan memperkukuh persenjataan? Itu hanya mengulangi sejarah sebelum Perang Dunia Pertama dan Kedua,” kata remaja berusia 16 tahun itu.
Rang undang-undang itu tidak mewajibkan khidmat ketenteraan, sebaliknya memberi insentif untuk menyertai secara sukarela melalui tawaran gaji permulaan sebanyak AS$3,000 (RM12,331).
Di bawah sistem baharu, semua individu berumur 18 tahun akan menerima soal selidik bermula tahun hadapan bagi mengetahui minat mereka untuk berkhidmat dalam tentera, walaupun ia hanya diwajibkan kepada golongan lelaki.
Mulai Julai 2027, lelaki Jerman juga dikehendaki menjalani pemeriksaan ketenteraan wajib sebaik sahaja mencapai usia 18 tahun.- CNN










