JELI: Seorang pelajar peringkat pengajian Doktor Falsafah (PhD) maut manakala rakannya terselamat selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke dalam sebuah tasik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 6.20 petang itu, Muhammad Amidee Abdullah,25, yang memandu kereta berkenaan maut di lokasi sementara rakannya berjaya keluar menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian kereta dipandu Muhammad Amidee sedang melalui selekoh di sebelah kiri dalam keadaan menuruni bukit di kawasan kampus berkenaan.
Katanya, setiba di lokasi kejadian kereta tersebut telah hilang kawalan secara tiba-tiba lalu terbabas ke dalam tasik yang terletak di bahagian kanan jalan.
“Penumpang kereta berkenaan berjaya keluar dan menyelamatkan diri, sementara pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Penumpang kini menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jeli. Mayat pemandu kereta itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamaruzaman memberitahu, ses disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jeli di talian 09-9440222 atau pegawai penyiasat di 014-8021928.-UTUSAN










