Pelajar Komunikasi USM anjur ‘Sprout Up’

Pelajar Komunikasi USM anjur ‘Sprout Up’ perkasa kanak-kanak palsi serebrum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELUGOR: Sekumpulan pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), di bawah Agensi SYNQ melancarkan kempen ‘Sprout Up’ bagi memupuk kesedaran, empati dan inklusiviti masyarakat terhadap kanak-kanak palsi serebrum (CP) daripada golongan kurang berkemampuan.

Kempen itu akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Persatuan Palsi Serebrum Pulau Pinang (CPAP) untukmemperkukuh pemahaman masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak CP.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Agensi SYNQ berkata, aktiviti utama kempen itu ialah Karnival Mini Reben Hijau atau ‘Green Ribbon Mini Carnival’ yang akan berlangsung pada 9 Disember ini di The Bricks dan Dataran Merah USM.

“Aktiviti ini menghimpunkan para pelajar, kakitangan USM, profesional kesihatan, dan aktivis CP.

“Para pengunjung berpeluang mendengar perkongsian daripada Pakar Pediatrik Umum dan Kesihatan Kanak-Kanak (Ketidakupayaan Neuro) dari Hospital Pulau Pinang, Dr. Tan Lay Tin dan alumni CPAP yang juga warga USM, Tan Chin Chin,” katanya.

Kenyataan itu juga memberitahu bahawa kempen itu akan diteruskan dengan ‘Pillows of Kindness Drive” dari 15 hingga 26 Disember dengan para pelajar USM digalakkan menyumbang pakaian terpakai dan anak patung lembut yang akan dijadikan bantal dan kusyen sokongan kanak-kanak CP.

Inisiatif ini menggabungkan elemen kelestarian dan keprihatinan, mengubah barangan harian kepada alat sokongan demi keselesaan dan kesejahteraan kanak-kanak CP.

“Kempen ini akan diakhiri dengan Majlis Penutup pada 7 Januari 2026, menandakan penamat minggu-minggu usaha kesedaran, advokasi, dan kolaborasi yang bermakna ini.

“Kempen “Sprout Up” ini mencerminkan komitmen USM dalam melahirkan pelajar yang berperanan aktif dalam komuniti dengan membawa mesej kesedaran, empati dan tanggungjawab sosial.

“Kempen ini menyerlahkan peranan bidang komunikasi dalam memupuk kefahaman serta memperkukuh hubungan dalam komuniti,” demikian menurut kenyataan itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN