KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi dan bantuan sosial menerusi MyKad antara yang diperhalusi kerajaan sebelum ia dapat dilaksanakan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan bagaimanapun sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai asas dalam menyediakan bantuan dan subsidi secara bersasar.
Katanya, kaedah agihan bantuan dan subsidi kerajaan kini sudah beralih kepada sistem digital yang komprehensif seperti sistem e-Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan mengambil kriteria kelayakan.
“Ia membabitkan pengagihan bantuan kerajaan selain proses pembayaran bantuan secara Pindahan Dana Elektronik (EFT) yang membolehkan bantuan kewangan tunai disalurkan terus ke akaun bank penerima.
“Kerajaan komited dalam memantau situasi semasa dan memastikan skim subsidi sedia ada dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) sama ada kementerian akan mempertimbang untuk menggantikan skim subsidi sedia ada dengan bantuan sosial melalui MyKad, berikutan kejayaan pelaksanaan mekanisme agihan program SARA. – UTUSAN










