TOKYO: Mesin basuh manusia yang direka untuk membersihkan badan secara automatik, kini mula dijual di Jepun dengan harga 60 juta yen (RM1.6 juta).
Dinamakan sebagai ‘Mesin Basuh Manusia Mirai’, peranti tersebut dibangunkan oleh syarikat teknologi, Science, yang berpangkalan di Osaka.
Mesin tersebut mula menarik perhatian orang ramai apabila ia dipamerkan di Ekspo Osaka-Kansai 2025, yang berlangsung selama enam bulan sehingga Oktober.
Peranti berkenaan merupakan versi terkini produk yang dipamerkan semasa kali terakhir Osaka menganjurkan acara itu pada 1970.
“Presiden syarikat kami mendapat inspirasi daripada itu ketika berusia 10 tahun,” kata jurucakap Science, Sachiko Maekura, kepada AFP.
Mesin canggih itu berfungsi dengan membersihkan seluruh tubuh manusia hanya dengan berbaring di dalam kapsul selama 15 minit.
Tanpa perlu menyental atau membilas secara manual, badan akan dibasuh dan dikeringkan secara automatik menggunakan teknologi mikro buih ultra halus.
Buih tersebut menembusi liang pori kulit untuk menghilangkan kotoran, sel kulit mati dan sebum.
Berukuran satu meter lebar, 2.5 meter panjang dan 2.6 meter tinggi, peranti tersebut turut dilengkapi sistem sensor yang memantau keadaan kesihatan pengguna semasa proses pembersihan.
Muzik dan video yang menenangkan juga dimainkan untuk memberikan keselesaan semasa sesi pembersihan.
Maekura berkata, sebuah hotel di Osaka membeli mesin pertama dan bersedia untuk menawarkan perkhidmatan itu kepada tetamunya.
“Oleh kerana sebahagian daripada daya tarikan mesin ini jarang ditemukan, kami merancang untuk menghasilkan hanya kira-kira 50 unit,” katanya.










