KUALA LUMPUR: Tugas baharu Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Rabu ini iaitu sehari selepas tamat tempoh sebagai ahli Dewan Negara bagi penggal kedua, esok.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tengku Zafrul akan diberi tanggungjawab baharu bagi membantu memperkukuhkan kerajaan.
“Tengku Zafrul hari terakhir sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 2 Disember tetapi dia akan terus kerja yang saya akan umumkan pada 3 Disember (lusa).
“Beliau (Tengku Zafrul) masih ada tanggungjawab, beliau tidak boleh dilepaskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kenderaan Pertama EV Perodua di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini, hari ini.
Pada 13 November lalu, ketika Taklimat Media Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025, Tengku Zafrul mengesahkan akan mengakhiri tugasnya sebagai menteri berkuat kuasa 2 Disember ini. – UTUSAN










