SHAH ALAM: Pendedahan secara langsung bersama masyarakat luar bandar disifatkan sebagai medan terbaik membentuk kepemimpinan mahasiswa yang berjiwa rakyat, matang dan berempati, selari dengan tuntutan kepimpinan masa depan negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, mahasiswa perlu keluar daripada zon selesa bilik kuliah dan mendekati realiti kehidupan rakyat bagi memahami cabaran sebenar masyarakat, sekali gus membina nilai kepimpinan yang berteraskan khidmat dan tanggungjawab sosial.
Menurut beliau, program seumpama itu memberi peluang kepada mahasiswa merasai denyut nadi masyarakat kampung melalui penghayatan budaya setempat, aktiviti kemasyarakatan dan kerja sukarela yang tidak mampu dipelajari secara teori.
“Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan rakyat akan membentuk generasi pemimpin yang rendah hati, berakhlak dan memahami keperluan masyarakat. Inilah asas kepimpinan sebenar,” katanya menurut kenyataan Institut Pemimpin Muda (IPM) pada perasmian Program Jalinan Integrasi Bakti Siswa ‘Merakyatkan Mahasiswa’ anjuran IPM Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Pontian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada UiTM dan Yayasan Pembangunan Pontian (YPP) yang bekerjasama menjayakan program berkenaan sebagai platform membina hubungan erat antara institusi pendidikan, kerajaan dan komuniti luar bandar.
Pada program sama, mahasiswa UiTM bersama penduduk sembilan kampung dan 222 kenderaan Parlimen Pontian berganding bahu menyediakan 18 periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk, sekali gus mencerminkan semangat kepimpinan melalui tindakan dan bukan sekadar pemerhatian.
Program tiga hari bermula 12 hingga 14 Disember itu merangkumi pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong, sukan rakyat, sesi motivasi pelajar sekolah serta pembelajaran sosial, yang bertujuan membentuk mahasiswa sebagai pemimpin berdaya saing dan dekat dengan masyarakat. – UTUSAN










