TOKYO: Wakil daripada empat kumpulan mangsa bom atom dari Nagasaki mengeluarkan kenyataan protes dan mengecam kenyataan seorang pegawai keselamatan di Pejabat Perdana Menteri, Sanae Takaichi, yang mencadangkan Jepun memiliki senjata nuklear.
Dalam sidang media pada Rabu, kumpulan tersebut menegaskan cadangan sedemikian tidak boleh diterima dan menyeru kerajaan Jepun menegakkan Tiga Prinsip Bukan Nuklear negara itu, yang melarang memiliki, menghasilkan atau membenarkan kemasukan senjata nuklear, lapor Kyodo News.
Kenyataan itu menegaskan, hujah yang menyokong persenjataan nuklear Jepun menjejaskan perjalanan 80 tahun mangsa bom atom yang melalui era penderitaan, maka ia tidak boleh diterima.
Ia juga menggesa kerajaan untuk menamatkan dasar keselamatan yang bergantung kepada pencegahan nuklear.
Ketua Majlis Perhubungan Mangsa Bom Pusat Tindakan Keamanan Nagasaki, Tadako Kawazoe, memberi amatan kenyataan sedemikian boleh menjadikan Jepun sebagai negara yang terasing di mata dunia, dan menggesa Takaichi menolak idea Jepun memiliki senjata nuklear.
Sementara itu, Ketua Majlis Bom Atom Nagasaki, Shigemitsu Tanaka berkata, Jepun tidak boleh dibenarkan menjadi pelaku bahaya nuklear dan menyeru sebarang kecenderungan ke arah itu dihentikan segera.
Protes itu timbul selepas seorang pegawai, yang terlibat dalam merangka dasar keselamatan di bawah kerajaan Takaichi, memberitahu pemberita pada 18 Disember, mengenai idea pemilikan senjata nuklear.
Cadangan itu sekali gus mencetuskan reaksi balas daripada penduduk tempatan, termasuk mangsa bom atom.









