Malaysia tidak perlukan peperiksaan berasaskan kaum

Malaysia tidak perlukan peperiksaan berasaskan kaum

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak memerlukan peperiksaan bersifat kaum seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dibimbangi akan menjejaskan perpaduan negara sekiranya peperiksaan itu diiktiraf.

Pensyarah di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah berkata, tiada keperluan untuk mengiktiraf peperiksaan lain kerana Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) sudah lama ‘bertapak’ di dalam negara.

“SPM salah satu penanda aras kepada kejayaan pelajar, jadi mengapa perlunya kita jadikan satu lagi peperiksaan yang lain untuk disamakan. Jad bagi saya, tidak wajar untuk kerajaan mengiktiraf UEC.

“Ini atas semangat kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu dan majmuk, peperiksaan yang berasaskan perkauman sememangnya tidak perlu ada di dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selasa lalu, Timbalan Pe­ngerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.

Kenyataan itu mendapat maklum balas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang berharap Anwar supaya tidak tunduk kepada desakan untuk mengiktiraf pe­periksaan tersebut.

Katanya, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan perkara itu kerana UEC tidak menepati aspek penting Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran juga dilaporkan tidak bersetuju dengan usaha mahu mengiktraf UEC.

Katanya, jika masyarakat Cina berasa sistem mahupun kurikulum kebangsaan tidak berlaku adil kepada mereka kerjasama boleh dilakukan untuk memperbaikinya tanpa perlu iktiraf peperiksaan lain untuk disamakan dengan SPM.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, sistem pendidikan negara dibimbangi akan menghadapi masalah sekiranya UEC diiktiraf oleh kerajaan.

Katanya, mereka yang ambil UEC, tidak perlu mengambil SPM untuk melanjutkan pengajian ke negara-negara tertentu.

“Adakah UEC mempunyai subjek yang sama seperti pe­periksaan kita dengan pelajar wajib lulus subjek Bahasa Me­layu dan Sejarah. SPM peperiksaan tunggal awam kekal dan relevan terutama dalam menentukan hala tuju setiap pelajar selepas mereka tamat persekolahan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN