MAIPs tubuh Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam - Utusan Malaysia

MAIPs tubuh Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (lima dari kiri) berkenan bergambar pada Majlis Penyerahan Tauliah Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, Perlis, baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) buat julung kalinya menubuhkan Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis.

Penubuhan itu merupakan manifestasi kesungguhan badan tertinggi agama Islam negeri dalam memastikan agenda pemerkasaan serta penambahbaikan pendidikan Islam di Perlis dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, tersusun dan holistik.

Majlis Penyerahan Tauliah Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis dilaksanakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini, baru-baru ini.

Penyerahan tauliah pelantikan itu dikurniakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs.

Menerusi pentauliahan itu, Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam negeri akan dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Mohd Akram Datuk Dahaman@Dahlan dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Barisan lapan ahli lembaga yang dilantik juga bakal menggalas amanah besar dalam merangka, menasihati serta menyelaras hala tuju pendidikan Islam negeri ini ke arah kecemerlangan berteraskan nilai-nilai Rabbani.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menitahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli lembaga yang dilantik.

“Diharapkan amanah yang diberikan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan komitmen demi memartabatkan syiar Islam serta menjamin masa depan pendidikan anak-anak Perlis,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN