WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menemukan lebih daripada sejuta dokumen tambahan yang berpotensi berkaitan dengan pesalah seksual, Jeffrey Epstein, dan merancang untuk mendedahkan dalam masa terdekat.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan pendakwa raya persekutuan New York memaklumkan Jabatan Kehakiman (DoJ) mengenai penemuan itu.
“Kami mempunyai peguam yang bekerja sepanjang masa untuk menyemak dan membuat penyuntingan diperlukan oleh undang-undang untuk melindungi mangsa, serta kami akan mengeluarkan dokumen tersebut secepat mungkin,” kata DoJ pada Rabu.
Jabatan itu menjangkakan proses tersebut mungkin mengambil masa beberapa minggu lagi sebelum semua fail dikeluarkan.
DoJ dikritik kerana tidak mengeluarkan semua fail Epstein menjelang 19 Disember, tarikh akhir yang diwajibkan di bawah undang-undang baharu.
Agensi itu berkata, ia akan terus mematuhi sepenuhnya undang-undang persekutuan dan arahan Presiden Donald Trump untuk mengeluarkan fail-fail tersebut.
Kenyataan itu tidak menjelaskan bagaimana FBI dan Peguam Negara AS untuk Daerah Selatan New York menemukan bahan tambahan tersebut.
Epstein menghadapi tuduhan pemerdagangan seks bawah umur di negeri tersebut apabila dia meninggal dunia semasa menunggu perbicaraan di penjara New York.
Perkembangan itu muncul selepas jabatan kehakiman mengeluarkan beribu-ribu dokumen, yang disunting dengan teliti, berkaitan dengan siasatan mereka terhadap Epstein.
Jabatan itu mengeluarkan dokumen secara berperingkat, dan pegawai kanan berkata ratusan ribu dokumen masih belum dikeluarkan.
Dokumen tersebut dikeluarkan selepas Kongres meluluskan Akta Ketelusan Fail Epstein, yang ditandatangani oleh Trump, mengarahkan agensi itu berkongsi semua dokumen dengan orang ramai sambil melindungi identiti mangsa.
Banyak dokumen yang dikeluarkan, termasuk video, gambar, e-mel dan dokumen siasatan, mempunyai penyuntingan yang banyak, termasuk nama individu dikaitkan oleh FBI sebagai potensi bersubahat dalam kes Epstein.
Jabatan Kehakiman menghadapi kritikan daripada ahli politik kedua-dua pihak mengenai jumlah penyuntingan, yang dibenarkan undang-undang hanya untuk melindungi identiti mangsa dan siasatan jenayah aktif.
Undang-undang yang diluluskan oleh Kongres dan ditandatangani oleh Trump bulan lalu, menetapkan nama atau maklumat yang boleh memalukan atau menjejaskan reputasi tidak dibenarkan untuk disunting.
Ia secara khusus meminta DoJ untuk mengeluarkan komunikasi dalaman dan memo yang menjelaskan siapa disiasat serta keputusan sama ada untuk mendakwa, tidak mendakwa, menyiasat atau menolak siasatan terhadap Epstein atau rakan-rakannya.
Dokumen yang dikeluarkan termasuk e-mel yang didakwa dihantar antara pegawai FBI pada 2019, menyebut 10 individu yang mungkin menjadi ‘dalang bersama’ Epstein.
E-mel itu menyatakan enam daripada mereka diberi surat saman: tiga di Florida, satu di Boston, satu di New York City, dan satu di Connecticut.
Kemungkinan dalang bersama dalam jenayah Epstein merupakan tumpuan utama mangsanya, dan bagi beberapa penggubal undang-undang yang menuntut lebih banyak ketelusan daripada jabatan kehakiman.- BBC










