MADRID: Lebih 3,000 pendatang dilaporkan maut ketika cuba menyeberang ke Sepanyol tahun ini, menurut laporan kumpulan hak migrasi Sepanyol, Caminando Fronteras, penurunan mendadak berbanding 2024 apabila jumlah cubaan menyeberang menurun.
Kebanyakan daripada 3,090 kematian yang direkodkan sehingga 15 Disember berlaku di laluan Atlantik dari Afrika ke Kepulauan Canary, yang dianggap antara laluan paling berbahaya di dunia.
Walaupun ketibaan pendatang ke Canary menurun secara mendadak, laluan baharu yang lebih jauh dan berisiko tinggi kini muncul dari Guinea, menurut laporan itu.
Data Caminando Fronteras dikumpulkan daripada keluarga pendatang serta statistik rasmi mereka yang diselamatkan, termasuk 437 kanak-kanak dan 192 wanita yang maut sepanjang tahun ini.
Selain itu, jumlah bot berlepas dari Algeria, terutama ke pulau percutian Ibiza dan Formentera di Mediterranean, juga dilaporkan meningkat.
Laluan yang sebelum ini digunakan kebanyakannya oleh rakyat Algeria kini menyaksikan peningkatan pendatang dari Somalia, Sudan dan Sudan Selatan.
Laporan itu menekankan laluan-laluan baharu itu membawa risiko yang lebih tinggi dan menunjukkan cabaran berterusan dalam menangani krisis pendatang di Eropah.
Jumlah kematian di laluan itu meningkat dua kali ganda tahun ini kepada 1,037 berbanding tahun 2024, tambahnya.
Sekurang-kurangnya 10,457 pendatang meninggal dunia atau hilang ketika cuba sampai ke Sepanyol melalui laut pada 2024, menurut Caminando Fronteras, jumlah tertinggi yang direkodkan sejak ia mula menjejaki data pada 2007.
Kementerian dalam negeri Sepanyol berkata, 35,935 pendatang tiba di Sepanyol sehingga 15 Disember tahun ini, penurunan 40 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.
Hampir separuh daripada mereka datang melalui laluan pendatang Atlantik dari pantai Afrika Barat ke Kepulauan Canary.









