PETALING JAYA: Lebih 13 juta pengguna menjadikan aplikasi cari jodoh dalam talian sebagai pilihan mencari pasangan hidup.
Fenomena itu kini menjadi norma dalam kalangan masyarakat Malaysia, juga beberapa negara luar, terutama generasi muda yang sibuk bekerja dan kurang peluang sosial untuk bertemu pasangan.
Jika dahulu proses mencari jodoh banyak dibantu keluarga seperti ibu bapa atau saudara-mara, kini tanggungjawab itu beralih kepada individu melalui platform digital.
Aplikasi jodoh kini mengambil alih peranan tradisional, namun hadir dengan risiko dan cabaran tersendiri. Ada yang menggunakannya kerana kecewa dengan perkahwinan lama, kesibukan kerja, kekangan masa, dan ingin keluar daripada kelompok sosial yang sama.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia, aplikasi mesra Muslim seperti Baituljannah, Tilljannah, MyJodoh dan Muzz menjadi pilihan mereka yang benar-benar serius dan majoriti pengguna berhasrat untuk taaruf cara islam dan berkahwin.
Berbeza dengan aplikasi seperti Tinder, Omi atau Bumble yang lebih popular dalam kalangan remaja, digunakan secara percuma, lebih terdedah kepada akaun palsu serta kandungan yang tidak ditapis.
Rata-rata pengguna aplikasi cari jodoh dalam kalangan Muslim menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Muzz kini merekodkan lebih 12 juta ahli Muslim di seluruh dunia dengan 250,000 perkahwinan berjaya, menjadikannya antara platform paling aktif .
Bagi BaitulJannah, terdapat lonjakan sebanyak 85 peratus selepas pandemik apabila jumlah pengguna meningkat daripada kira-kira 500,000 kepada hampir 1 juta.
Manakala, TillJannah merekodkan lebih 3,000 individu berjaya menemukan pasangan hidup masing-masing.
Sementara itu, MyJodoh melaporkan lebih 285,000 pengguna aktif setiap hari, termasuk 92,167 teruna, 32,028 dara, 9,910 janda dan 18,564 duda yang sedang mencari pasangan, menggambarkan trend pencarian jodoh digital semakin meluas.
Platform digital yang dahulunya dianggap sekadar ruang perkenalan kasual kini berubah menjadi medium serius untuk mencari pasangan hidup, dengan peningkatan ketara pendaftaran pengguna sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seorang pengguna aplikasi Baituljannah, Adi Ashraf, 37, berkata, dia menggunakan aplikasi ini kerana kecewa akan perkahwinan yang lalu dan kesibukan bekerja.
“Orang cadangkan aplikasi Baituljannah, jadi saya guna untuk mencari pasangan, jumpa seorang perempuan, saya tertarik kerana tarikh lahirnya 8 Julai, saya pula 9 Julai , terus saya kirimkan salam melalui aplikasi tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, kirim salam ini seperti anda mulakan perbualan kepada rakan yang anda suka di aplikasi tersebut.
“Kami bercinta jarak jauh kerana dia di Sarawak dan saya di Singapura, kami cuba mengenali hati budi masing-masing. Selepas sebulan perkenalan, saya terus ajak berkahwin dan kekal hingga sekarang,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Atikah Osman, 32, berkata, dia belum bertemu pasangan yang sesuai walaupun sudah lama menggunakan aplikasi berkenaan.
“Selama menggunakan aplikasi Baituljannah, saya masih belum ada rezeki menemukan pasangan lagi. Pada saya agak susah sebenarnya untuk mencari jodoh di aplikasi ini jika tidak betul-betul mencuba.
“Untuk menggunakan dengan jangka masa yang panjang, banyak menggunakan kos, lagi pula sebulan perlu membayar RM99 dan tidak semua kenalan di situ betul serius untuk berkahwin,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna aplikasi Muzz yang hanya mahu dikenali sebagai Shaz, 42, berkata, dia menggunakan aplikasi itu kerana terlalu fokus bekerja dan mengejar kestabilan kewangan membuatkannya lewat memikirkan soal jodoh.
“Di usia 40 tahun saya beranikan diri untuk masuk aplikasi cari jodoh. Saya ingin mencari pasangan tetapi masih ingin mengikut syariat islam, walaupun banyak lelaki hidung belang di aplikasi cari jodoh ini.
“Sampai satu masa, saya berjumpa dengan seorang lelaki (suami saya sekarang), saya terus tanya sama ada mahu menikah atau main-main sahaja, suami terus ajak bernikah selepas seminggu perkenalan dan terus berjumpa dengan ahli keluarga dan akhirnya kami berkahwin,” katanya.
Menurutnya, ciri-ciri yang dipaparkan dalam aplikasi tidak semestinya sama apabila berjumpa, ada yang lebih baik daripada jangkaan.
“Saya rasa selamat kerana pertama kali berjumpa orang yang tidak dikenali adalah di hadapan rumah dengan keluarga menemani,” katanya.
Bagi pengguna Bumble pula, Alia Mustafah, 23, aplikasi bukan mesra Muslim itu digunakan untuk berkenalan dengan orang baharu kerana tidak mahu berjumpa individu yang sama sahaja.
“Memang ramai lelaki bernafsu semata-mata, jadi kena berjaga-jaga. Bila hendak berjumpa, saya selalu kongsi lokasi dengan kawan terdekat,” katanya.
Alia berkata, walaupun lebih suka cara tradisional dulu, akibat kekangan masa membuatkan aplikasi itu menjadi pilihan kerana lebih mudah dan menjimatkan masa.
Berkongsi kisah yang sama, Nik Saniah Nik Razak, 35, berkata, dia menggunakan aplikasi Cintaku.com untuk mencari pasangan hidup selepas beberapa kali kecewa dalam percintaan.
“Setelah berkali-kali mencuba bercinta dengan bantuan kawan-kawan, kawan-kawan kenalkan, semua tidak menjadi. Sampai saya sendiri putus asa selama bertahun-tahun, tetapi memikirkan umur sudah mencecah 30-an, saya cuba juga cari jodoh di aplikasi jodoh,” kongsinya.
Katanya, dia berkenalan dengan lelaki pilihannya hampir lima bulan sebelum mengambil keputusan untuk bernikah.
Katanya, mereka memilih untuk bercinta selepas bernikah dan tidak pernah berjumpa sebelum itu, kecuali ketika membuat persediaan majlis perkahwinan.
“Setelah hampir tiga bulan perkahwinan, keluar segala sisi si dia yang saya tidak pernah nampak selama ini, dia jadi lain. Katanya hendak bercinta selepas nikah tetapi itu semua pada awalnya sahaja. Tidak sama seperti yang dijanjikan dulu.
“Jodoh kami tidak berpanjangan, kami berpisah selepas lima bulan perkahwinan. Saya anggap ini adalah dugaan dan cabaran untuk saya,” katanya.
Menurutnya, walaupun terdesak mencari jodoh, setiap individu perlu mengenali hati budi pasangan terlebih dahulu dan memastikan kedua-duanya benar-benar bersedia. – UTUSAN










