Lapan pekan baharu bakal diwujudkan di Perlis - Utusan Malaysia

Lapan pekan baharu bakal diwujudkan di Perlis

MOHD. Shukri Ramli menunjukkan buku Belanjawan Perlis 2026 di Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/ADIB AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri bersetuju meluluskan perluasan bandar Kangar serta Arau dan mewujudkan lapan buah pekan baharu di Perlis.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, ia seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Kanun Tanah Negara.

Ujarnya, perluasan bandar dan pewujudan pekan-pekan baharu itu akan memberikan impak terhadap peningkatan nilai hartanah, limpahan pembangunan ekonomi, pembangunan dari sudut geografi, pembukaan kawasan perumahan dan peningkatan peluang pekerjaan rakyat.

“Tahun 2025 telah mencatatkan sejarah dalam pentadbiran dan pengurusan tanah di negeri apabila kerajaan negeri bersetuju meluluskan perluasan tersebut,” katanya membentangkan Belanjawan Perlis 2026 di sini semalam.

Katanya, kerajaan negeri juga bertekad menaik taraf pekan-pekan kecil seluruh Perlis bagi merangsang ekonomi rakyat.

“Untuk itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada PLAN Malaysia Perlis bagi melaksanakan kajian yang merangkumi analisis fizikal, sosioekonomi dan guna tanah sedia ada serta mencadangkan intervensi pembangunan bersesuaian bagi setiap pekan kecil.

“Hasil kajian ini akan menjadi rujukan utama jabatan serta agensi pelaksana dalam perancangan projek pembangunan setempat.

“Hasil kajian ini akan menyokong dasar-dasar utama seperti Dasar Perumahan Negeri, Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 dan perancangan pembangunan luar bandar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN