UMNO Pekan kecewa ucapan Muhyiddin sentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah - Utusan Malaysia

UMNO Pekan kecewa ucapan Muhyiddin sentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah

MOHAMMAD FAKHRUDDIN Mohd. Ariff (tengah) membuat laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di Pekan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: UMNO Bahagian Pekan terkilan dan kecewa dengan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan yang menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, kenyataan Muhyiddin yang seolah-olah mempersoalkan kredibiliti institusi diraja dengan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 gagal untuk menghormati peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas bersifat memfitnah, menghasut serta menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan raja.

“Sebagai seorang bekas pimpinan tertinggi negara, kenyataan seumpama ini adalah sangat tidak wajar dizahirkan oleh beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, beliau yang berpengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran, sepatutnya menunjukkan peribadi yang berhemah tinggi dan bersikap profesional apabila turun berkempen di mana-mana kawasan pilihan raya,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, laporan polis itu bagi menuntut supaya perbuatan Muhyiddin disiasat dan seterusnya dikenakan tindakan sewajarnya dalam memastikan agar perkara kedua dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sentiasa terpelihara.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini