Laluan Wang Kelian dibuka semula, kemasukan kenderaan terhad - Utusan Malaysia

Laluan Wang Kelian dibuka semula, kemasukan kenderaan terhad

RAHIMI Ismail ketika ditemui pada Program Perlis Go Clean: Walk And Plog For Change 2025 di Taman Rekreasi Bukit Lagi, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Laluan Wang Kelian dibuka semula buat orang ramai dengan kawalan keselamatan dan pemantauan rapi oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, kemasukan kenderaan melalui laluan itu buat masa ini adalah terhad dan tidak dibenarkan dalam jumlah besar berikutan kerja-kerja pembinaan jalan masih dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Rahimi berkata, pergerakan kenderaan dari kawasan bawah Wang Kelian juga akan dikawal oleh JKR dengan kerjasama pihak polis yang bertugas di lokasi tersebut.

“Namun begitu, bagi kes-kes kecemasan, pergerakan dibenarkan tanpa sebarang masalah. Keputusan ini dibuat dalam satu mesyuarat bersama beberapa pihak seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya selepas Program Perlis Go Clean: Walk And Plog For Change 2025 di Taman Rekreasi Bukit Lagi, di sini, hari ini.

Penduduk Wang Kelian sebelum ini terputus hubungan selepas jalan utama di sekitar laluan bercerun dari View Point Wang Kelian ke kawasan Kampung Wang Kelian mengalami tanah runtuh.

Rahimi berkata, mesyuarat yang dijalankan itu turut memutuskan agar pergerakan sempadan atau aliran bebas dibenarkan buat penduduk setempat di Wang Kelian.

“Keputusan ini hasil permintaan penduduk setempat serta penelitian pihak kerajaan negeri di mana terdapat keperluan untuk membuka semula pintu sempadan secara aliran bebas. Ini bertujuan memudahkan penduduk di Wang Pranchan, Thailand dan Wang Kelian keluar masuk,” katanya.

Menerusi pelaksanaan ini, Rahimi berkata, penduduk setempat di kedua kawasan terlibat akan lebih mudah mendapatkan bekalan minyak dan keperluan berkaitan untuk kegunaan mereka.

“Selain itu pengguna dari sana juga hanya dibenarkan sehingga ke kawasan stesen minyak di Wang Kelian sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN