Kyiv 'bergelap' selepas Russia bom infrastruktur tenaga Ukraine

Kyiv ‘bergelap’ selepas Russia bom infrastruktur tenaga Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Satu pertiga penduduk di ibu negara Ukraine terputus bekalan elektrik selepas Russia melancarkan pengeboman besar-besaran ke atas kawasan kediaman dan infrastruktur kritikal negara itu.

Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha berkata, penduduk turut terputus bekalan pemanas dalam keadaan suhu musim sejuk yang membeku.

Datuk Bandar Kyiv, Vitaliy Klitschko berkata, sekurang-kurangnya seorang maut manakala 30 lagi cedera dalam serangan itu.

Serangan tersebut berlaku beberapa jam sebelum Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berlepas ke Florida untuk bertemu rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bagi rundingan damai.

Kementerian Pertahanan Russia berkata, ia melancarkan ‘serangan balas besar-besaran’ ke atas kemudahan infrastruktur tenaga Ukraine.

Menurut kementerian itu, senjata jarak jauh darat, udara dan laut digunakan untuk menyasarkan kemudahan berkenaan, yang didakwa digunakan ‘demi kepentingan Angkatan Tentera Ukraine dan perusahaan kompleks perindustrian ketenteraan Ukraine.

Susulan serangan itu, Zelensky mengulangi dakwaan Russia tidak mahu menamatkan perang dan cuba menggunakan setiap peluang untuk menimbulkan lebih banyak masalah dengan Ukraine.

Dalam hantaran di Telegram, Zelensky berkata, Russia mengarahkan hampir 500 dron dan 40 peluru berpandu ke arah Kyiv, menyasarkan infrastruktur tenaga dan awam.

Gambar menunjukkan bangunan apartmen berlubang besar dan rumah terbakar selepas serangan.

Perkhidmatan Kecemasan Negeri Ukraine berkata, 68 orang dipindahkan dari sebuah rumah warga emas di daerah Darnytskyi, timur Ukraine.

“Wakil Russia bercakap panjang, tetapi sebenarnya Daggers (peluru berpandu) dan Shaheds (dron) yang bercakap bagi pihak mereka.

“Aktiviti gila ini hanya boleh dihadapi dengan langkah yang benar-benar tegas. Amerika mempunyai peluang ini, Eropah mempunyai peluang ini, ramai rakan kongsi kami mempunyai peluang ini,” kata Zelensky sambil menyeru sekutu untuk menunjukkan ketegasan terhadap pencerobohan Russia.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN