GAZA: Puluhan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal kini menghadapi hujan musim sejuk selepas dua tahun serangan Israel memusnahkan hampir keseluruhan wilayah itu.
Sistem tekanan rendah kutub disertai hujan lebat dan angin kencang melanda Gaza pada Sabtu, menjadikannya tekanan rendah kutub ketiga yang menjejaskan wilayah Palestin pada musim sejuk kali ini.
Menurut ahli meteorologi, Laith al-Allami, sistem tekanan rendah keempat dijangka melanda kawasan itu bermula Isnin.
Wilayah terkepung itu kini berdepan suhu beku, hujan lebat dan angin kencang, dengan pihak berkuasa memberi amaran cuaca buruk itu boleh menjadi ribut besar.
Seorang penduduk Gaza City, Mohammed Maslah berkata, dia dan keluarga tiada pilihan selain terus tinggal di khemah yang usang.
“Saya tidak dapat mencari tempat tinggal lain, kecuali Pelabuhan Gaza. Kami terpaksa tinggal di sini kerana rumah berada bawah kawalan Israel.
“Hanya selepas beberapa jam hujan, kami sudah basah kuyup,” katanya kepada Al Jazeera.
Penduduk Deir al-Balah, Shaima Wadi, pula memberitahu Associated Press, khemahnya sering runtuh setiap kali hujan melanda.
“Dengan harga barang yang mahal dan tanpa pendapatan, kami tidak mampu membeli pakaian atau tilam untuk anak-anak tidur,” katanya.
Hujan lebat awal bulan ini menyebabkan banjir di khemah dan tempat perlindungan sementara di Gaza, dengan kebanyakan bangunan musnah atau rosak akibat serangan Israel.
Setakat Disember, sekurang-kurangnya 15 orang termasuk tiga bayi maut akibat hipotermia selepas hujan dan suhu menurun, manakala beberapa bangunan turut runtuh.
Organisasi bantuan antarabangsa menyeru Israel untuk membenarkan lebih banyak tempat perlindungan dan bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah itu.










