PETALING JAYA: Pengorbanan negeri penting dalam memastikan pentadbiran di peringkat Persekutuan berjalan dengan baik dan memastikan negara terus melangkah ke hadapan.
Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, Selangor merupakan antara negeri yang sudah banyak berkorban untuk negara antaranya melepaskan Kuala Lumpur yang dahulunya ibu negeri untuk menjadi ibu negara.
Kata beliau, Selangor juga memberikan Putrajaya kepada Persekutuan untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan.
“Pengorbanan negeri penting demi membolehkan Persekutuan mempunyai pentadbiran yang sepadan dan memberikan keupayaan dalam membawa negara ke hadapan.
“Oleh itu, dalam sesebuah negara Persekutuan, pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri perlu mempunyai keserasian, tidak boleh melebihkan mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyuarakan kebimbangan terhadap amalan sesetengah negeri yang memperbesarkan isu hak negeri, sambil menegaskan perlunya kesedaran terhadap kepentingan nasional yang lebih luas.
Sultan Selangor bertitah bahawa prinsip kedaulatan negeri dan tadbir urus tempatan sememangnya asas penting bagi sesebuah negeri, namun ‘tidak boleh keterlaluan.’
Adalah penting bagi negeri-negeri melaksanakan hak mereka dengan mengambil kira kepentingan nasional secara menyeluruh.
Shamrahayu berkata, setiap negeri harus melihat kepada kedudukannya dalam sudut perundangan atau perjanjian yang dimeterai sebelum pembentukan Malaysia, selain mementingkan pencapaian dan keupayaan Persekutuan.
“Di peringkat Persekutuan pula, kerajaan perlu menghormati hak tanpa mengorbankan kepentingan setiap negeri sementara di peringkat negeri pula, kerajaan negeri perlu menghormati Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, tuntutan berlebihan oleh sesetengah negeri akan memberi tekanan kepada negara.
Katanya di dalam Perlembagaan sudah ada pembahagian antara negeri dan Persekutuan, jadi ada perkara yang sememangnya hak negeri tetapi ada perkara yang kena berkongsi atau bekerjasama dengan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan boleh berbincang dengan kerajaan negeri jika ada keperluan tertentu tetapi ia mesti berlandaskan kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhan. Saya berpendapat bahawa Sultan Selangor tidak begitu senang dengan orang yang terlalu kenegerian.
“Jika kerajaan Persekutuan membenarkan negeri tertentu menuntut hak mereka secara berlebihan, negeri lain akan membuat perkara sama. Kita akan menghadapi masalah sekiranya ini berlaku,” katanya. – UTUSAN










