BANGKOK: Kemboja didakwa mengupah firma pelobi berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan ‘perang maklumat’, bertujuan mempengaruhi pendapat antarabangsa terhadap Thailand berikutan pertikaian sempadan yang sedang berlangsung.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri, mengesahkan dakwaan itu selepas Kelab Antirasuah Thailand mendedahkan dokumen sulit yang menunjukkan Kemboja melantik National Consulting Services, Inc. untuk menyediakan perkhidmatan perhubungan kerajaan dan awam di AS.
Surasant menjelaskan, penggunaan pelobi jelas dilihat daripada kemunculan warga asing yang menyeru campur tangan antarabangsa, seperti yang ditunjukkan dalam imej dan rakaman video di beberapa lokasi di Kemboja.
Aktiviti itu dilihat bertujuan mewujudkan suasana simpati terhadap Kemboja di pentas antarabangsa, katanya.
Beliau berkata, operasi ketenteraan Thailand dirancang dan dijalankan tanpa sebarang niat untuk mencederakan orang awam, serta menuduh Kemboja cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa melalui rayuan emosi yang tidak disokong bukti sah.
“Terdapat dakwaan mengenai penderitaan orang awam, tetapi tiada imej atau bukti konkrit untuk mengesahkannya,” katanya.
Menurut Surasant, Thailand akan terus mengurus ‘tiga medan pertempuran’, melibatkan ketenteraan, diplomatik dan maklumat, dengan matlamat untuk memulihkan keamanan berkekalan di sepanjang sempadan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar, Maratee Nalita Andamo berkata, Thailand akan menangkis sebarang kempen maklumat dengan fakta bukan retorik.
Katanya, kementerian menghantar dokumentasi kepada organisasi antarabangsa yang memaparkan perkembangan di lapangan, dan menegaskan walaupun propaganda mungkin memberi kesan jangka pendek, ia tidak mempunyai kredibiliti jangka panjang.- AGENSI










