Kecewa dengan sikap Ketua Cabang, ahli PKR Lubok Gong sertai UMNO

Kecewa dengan sikap Ketua Cabang, ahli PKR Lubok Gong sertai UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Lebih 100 ahli PKR Ranting Lubok Gong disini bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO berkuat kuasa serta-merta selepas kecewa dengan sikap Ketua Cabang Rantau Panjang.

Bekas Ketua Ranting, Ariffin Ismail, 63, berkata, kemuncak krisis itu berlaku selepas selesai pemilihan cabang baru-baru ini apabila pihaknya tidak dipanggil untuk menghadiri mesyuarat oleh pucuk pimpinan tertinggi Rantau Panjang.

“Tindakan ini bukan tidak sayang kepada parti, bukan salah PMX (Presiden Parti) tetapi disebabkan oleh sikap Ketua Cabang yang tidak cakna kepada ahli di akar umbi.

“Disebabkan masalah itu, saya sukar menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) untuk membantu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ariffin memberitahu, keputusan menyertai UMNO dibuat kerana parti itu lebih dekat dengan rakyat dan banyak membantu penduduk, terutama ketika banjir.

Katanya, bukan itu sahaja pimpinan UMNO Rantau Panjang dan Gual Periok kerap turun padang membantu rakyat.

“Sebelum ini saya banyak bergerak sendirian bersama badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa banjir serta menziarahi kematian penduduk tanpa kehadiran Ketua Cabang,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN