Kanak-kanak Rohingya dipaksa jadi pelacur

Kanak-kanak Rohingya dipaksa jadi pelacur

SEBUAH bot yang membawa pelarian Rohingya, belayar di luar pantai Labuhan Haji di wilayah Aceh Selatan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COX’S BAZAR: Pemotongan bantuan asing secara mendadak yang dilaksanakan tahun ini oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta pengurangan dana daripada beberapa negara lain, menyebabkan ribuan sekolah dan pusat latihan belia di kem pelarian Rohingya ditutup, sekali gus menjejaskan program perlindungan kanak-kanak.

Keadaan itu mendorong peningkatan perkahwinan paksa, selain ramai kanak-kanak seawal usia 10 tahun dipaksa menjadi buruh kasar, manakala gadis 12 tahun terjerumus dalam kegiatan pelacuran.

Ketiadaan ruang selamat untuk belajar dan bermain menyebabkan kanak-kanak Rohingya berkeliaran di sekitar kem yang padat pelarian, menjadikan mereka lebih terdedah kepada penculikan serta pemerdagangan manusia.

Manakala, sindiket pemerdagangan menyasarkan golongan muda yang terdesak dengan janji palsu untuk memulihkan kehidupan dan masa depan mereka.

Hasina, 16, merupakan antara mereka yang terkesan dengan penarikan dana dan penutupan sekolah untuk pelarian sehingga dia dipaksa berkahwin awal.

“Jika sekolah tidak ditutup, saya tidak akan terperangkap dalam kehidupan seperti ini,” katanya yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan seksual.

Kehidupan kanak-kanak di kem pelarian Rohingya kini terancam selepas pemotongan bantuan asing, dengan lebih 600,000 terpaksa tinggal di khemah buluh dan kanvas di kawasan bukit yang mudah runtuh, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan mereka.

Keputusan pentadbiran Trump membubarkan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), menjejaskan program pendidikan dan perlindungan kanak-kanak di kem yang menempatkan lebih 1.2 juta pelarian Rohingya.

Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kes pelanggaran hak kanak-kanak meningkat mendadak pada 2025, dengan 560 diculik atau hilang antara Januari hingga pertengahan November, empat kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, laporan mengenai penglibatan kanak-kanak dalam latihan dan peranan sokongan kumpulan bersenjata di kem meningkat lapan kali ganda, membabitkan 817 kanak-kanak.

UNICEF juga kehilangan 27 peratus daripada dana akibat pemotongan bantuan AS, memaksa penutupan hampir 2,800 sekolah di kem pelarian.

Kekurangan akses pendidikan, keselamatan dan perlindungan kini menjadikan kanak-kanak Rohingya lebih mudah menjadi sasaran penculikan, pemerdagangan manusia dan eksploitasi.- AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN