TOKYO: Sebuah feri penumpang yang beroperasi antara Okayama dan Pulau Shodoshima di barat Jepun akan mula menggunakan teknologi navigasi autonomi tanpa pemandu pertama di dunia.
Menurut Yayasan Nippon, Olympia Dream Seto yang beroperasi antara Pelabuhan Shin-Okayama dan Pelabuhan Tonosho di Pulau Kagawa memulakan operasi tersebut semalam selepas menerima pengesahan kerajaan untuk menggunakan teknologi tersebut.
Dalam sidang media yang diadakan di atas kapal semasa pelayaran, Pengarah Eksekutif yayasan itu, Mitsuyuki Unno berkata, inisiatif itu menjadi antara penyelesaian terbaik kepada masalah kekurangan tenaga kerja yang semakin meruncing di Jepun.
Operasi sedemikan juga dapat memastikan pengangkutan ke pulau-pulau berpenduduk terpencil tidak terganggu.
Feri itu bergerak perlahan meninggalkan jeti dan melalui perairan tenang sebagai demonstrasi. Ia juga menunjukkan kemampuan untuk mengesan kapal di hadapan dan mengubah haluan secara autonomi.
Kokusai Ryobi Ferry yang mengendalikan Olympia Dream Seto berkata, mereka bercadang menggunakan sepenuhnya fungsi navigasi autonomi itu apabila anak kapal semakin selesa dengan sistem tersebut.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada projek lebih luas untuk mengkomersialkan kapal tanpa pemandu yang melibatkan Yayasan Nippon dan lebih 50 syarikat lain.
Jika berjaya, ia dijangka dapat membantu menstabilkan logistik serta mengurangkan kemalangan di laut.










