Jabatan kerajaan, agensi swasta perlu perkukuh peranan: Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Jabatan kerajaan, agensi swasta perlu perkukuh peranan: Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan bergambar bersama pada Majlis Apresiasi kepada Jabatan Kerajaan dan Agensi Swasta anjuran Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd. berlangsung di Kangar. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar setiap jabatan kerajaan dan agensi swasta dapat memperkukuh peranan masing-masing dalam membina ekosistem perniagaan kondusif, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran semasa.

Titah baginda, hubungan erat antara jabatan kerajaan dan agensi swasta merupakan elemen penting memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan termasuk kelestarian operasi berintegriti.

Baginda turut menekankan bahawa setiap syarikat hendaklah memberi penumpuan kepada empat teras utama dalam operasi perniagaan mereka.

“Ini termasuk meningkatkan produktiviti melalui pelaksanaan automasi secara berperingkat, memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan buruh, alam sekitar dan kualiti, memperkukuh budaya inovasi melalui Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta menerapkan teknologi baharu bagi mengoptimumkan keseluruhan proses pembuatan,” titah baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi kepada Jabatan Kerajaan dan Agensi Swasta anjuran Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd. di Kangar baru-baru ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut dihadiri Pengarah Urusan Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd, Imran Ibrahim.

Majlis apresiasi itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan atas sokongan strategik dan kerjasama berterusan pelbagai pihak yang membantu memperkukuh prestasi syarikat serta menyokong pembangunan industri pembuatan sarung tangan negara.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penganjuran majlis apresiasi ini wajar diteruskan pada masa hadapan dan diperluas penyertaannya kepada lebih banyak jabatan dan agensi-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN