Iran tolak pemeriksaan tapak nuklear tanpa rangka kerja IAEA

Iran tolak pemeriksaan tapak nuklear tanpa rangka kerja IAEA

IMEJ satelit menunjukkan gambaran keseluruhan kompleks Loji Pengayaan Bahan Api Fordo (Fordow), kira-kira 30 kilometer ke utara Qom di tengah Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran menolak pemeriksaan kemudahan nuklear negara yang dibom, dan meminta badan pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan ‘syarat pasca perang’ sebelum sebarang akses dibenarkan.

Ketua agensi nuklear Iran, Mohammad Eslami berkata, negara itu tidak akan membenarkan pemeriksaan tapak nuklear yang dibom oleh Amerika Syarikat (AS) pada Jun, sehingga Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menentukan rangka kerja yang jelas untuk pemeriksaan tersebut.

Beliau berkata, jika syarat pasca perang ditetapkan, agensi nuklear PBB harus mengumumkan secara rasmi supaya Iran boleh bertindak sewajarnya dan membenarkan pemeriksaan tapak.

“Jika ia tidak ditetapkan, permintaan kami adalah supaya perlu diperjelaskan, ditakrifkan dan digariskan tindakan yang perlu diambil jika industri nuklear yang berdaftar dan di bawah pengawasan agensi tertakluk kepada serangan ketenteraan,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Kabinet di Teheran, semalam.

Dalam perang 12 hari dengan Israel, tentera AS menyasarkan tiga kemudahan nuklear utama Iran, Fordo, Natanz dan Isfahan, menggunakan bom penghancur bunker dalam operasi yang dinamakan ‘Midnight Hammer’.

Insiden itu berlaku lebih seminggu selepas Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, yang mengorbankan pegawai tentera kanan dan saintis nuklear serta menyasarkan beberapa tapak nuklear.

Susulan serangan tersebut, Iran mengusir pemeriksa IAEA yang berada di negara itu, dengan alasan agensi tersebut gagal mengutuk serangan terhadap kemudahan nuklearnya.

Beberapa hari sebelum serangan, Lembaga Gabenor IAEA menerima pakai resolusi tegas yang menuduh Iran tidak mematuhi komitmennya.

Mohammad berkata, jika badan pengawas nuklear PBB menyokong tindakan ketenteraan, mereka harus menyatakan secara jelas serangan terhadap kemudahan nuklear yang dilindungi dibenarkan.

“Tetapi jika serangan sebegini tidak dibenarkan, ia mesti dikutuk – dan selepas dikutuk, perlu diperjelaskan apakah syarat pasca perang.

“Sehingga itu, tekanan politik dan psikologi untuk menuntut pemeriksaan tapak yang dibom tidak akan diterima,” katanya.

Pegawai Iran itu juga mengkritik mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada Selasa mengenai larangan penyebaran nuklear, di mana anggotanya dilihat berbelah bahagi mengenai aktiviti nuklear Iran.- ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN