KUALA LUMPUR: Kira-kira 800 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kuala Lumpur akan bertugas sepanjang musim perayaan bagi menghadapi tragedi luar jangka seperti letupan gas di Putra Heights tahun lalu.
Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Penolong Ketua Pesuruhjaya Bomba, Hassan ‘As’ari Omar berkata, langkah itu selaras dengan ketetapan diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap maksimum ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.
“Di Kuala Lumpur kita ada lebih kurang 900 anggota. Daripada jumlah itu, sekitar 800 akan bertugas pada hari-hari perayaan. Hanya kira-kira 20 peratus dibenarkan bercuti mengikut giliran yang ditetapkan,” katanya pada perhimpunan tahunan JBPM Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut beliau, penugasan itu melibatkan pengoperasian penuh semua balai bomba di ibu negara dengan penempatan anggota secara strategik selain kerjasama bersama agensi kecemasan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Langkah tersebut juga diambil sebagai langkah pencegahan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berulang, termasuk tragedi letupan gas di Putra Heights yang berlaku pada musim perayaan aidilfitri tahun lalu,” katanya.
Pada Isnin lalu, Kor Ming dilaporkan berkata, kira-kira 12,000 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dibekukan cuti minggu ini sebagai persiapan menghadapi sambutan Tahun Baharu Cina.
Kor Ming berkata, pembekuan melibatkan kira-kira 80 peratus anggota itu bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum bagi membolehkan tindakan pencegahan kebakaran serta respons terhadap insiden tidak diingini seperti kemalangan dan kes lemas dilaksanakan secara tersusun, teratur dan berkesan sepanjang musim perayaan.-UTUSAN










