Tiada kluster tibi dikesan di Pulau Pinang, 150 kes dalam rawatan

Tiada kluster tibi dikesan di Pulau Pinang, 150 kes dalam rawatan

Daniel Gooi Zi Sen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tiada sebarang kluster penyakit Tuberkulosis (tibi) dikesan di Pulau Pinang setakat ini apabila semua kes yang direkodkan berada dalam kawalan dan pesakit sedang menerima rawatan sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, perkara itu disahkan berdasarkan pemantauan berterusan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut beliau, JKN Pulau Pinang juga telah mengambil pendekatan proaktif dalam usaha mengesan serta mengekang penularan penyakit tersebut melalui pemantauan kes, pengesanan kontak rapat dan pelaksanaan langkah kawalan kesihatan awam secara berterusan.

“Sehingga 7 Februari 2026, sebanyak 150 kes tibi kumulatif direkodkan di Pulau Pinang dan semua pesakit sedang menjalani rawatan, selain tiada kluster tibi dilaporkan setakat tempoh tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Daniel berkata, penyakit tuberkulosis atau lebih dikenali sebagai batuk kering, merupakan penyakit berjangkit disebabkan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui titisan udara daripada pesakit yang belum menerima rawatan.

”Penularan boleh berlaku apabila pesakit batuk, bersin atau bercakap, sekali gus mendedahkan individu sekeliling kepada jangkitan sekiranya tiada langkah pencegahan diambil.

”Antara gejala lazim penyakit tibi termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, hilang selera makan serta penurunan berat badan, manakala dalam kes serius pesakit boleh mengalami batuk berdarah,” katanya.

Beliau berkata, individu yang mengalami gejala tersebut dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan bagi membolehkan rawatan awal diberikan dan mengelak komplikasi lebih serius.

”Golongan berisiko tinggi dijangkiti penyakit tibi termasuk kontak rapat pesakit, individu yang hidup dengan HIV, pesakit buah pinggang kronik, penghidap penyakit pulmonari kronik serta perokok aktif,” katanya.

Katanya, penyakit tibi boleh dicegah dan disembuhkan sepenuhnya jika pesakit mematuhi rawatan ditetapkan. Orang ramai pula digalak mengamalkan langkah pencegahan seperti menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin serta memakai pelitup muka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN