EU siasat Meta kerana ciri AI WhatsApp

EU siasat Meta kerana ciri AI WhatsApp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis membuka siasatan antitrust untuk meneliti sama ada dasar Meta melancarkan ciri kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan pesanan WhatsApp melanggar peraturan persaingan blok itu.

Langkah terhadap gergasi AS itu menandakan percubaan terbaharu oleh 27 negara EU, untuk mengawal syarikat teknologi besar, di tengah tentangan hebat daripada kerajaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Suruhanjaya Eropah berkata, ia bimbang dasar Meta yang baharu diumumkan mungkin menghalang penyedia AI pihak ketiga daripada menawarkan perkhidmatan mereka melalui WhatsApp.

WhatsApp menolak dakwaan itu sebagai ‘tidak berasas’.

Bagaimanapun, ketua persaingan EU, Teresa Ribera berkata, blok itu mesti ‘bertindak untuk menghalang pengendali digital yang dominan daripada menyalahgunakan kuasa untuk menyingkirkan pesaing inovatif’.

“Inilah sebabnya kami menyiasat sama ada dasar baharu Meta mungkin menyalahi undang-undang di bawah peraturan persaingan, sama ada kami perlu bertindak segera untuk mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dapat dipulihkan dalam ruang AI,” katanya dalam satu kenyataan.

EU berkata, dasar Meta yang diumumkan pada Oktober akan menghalang penyedia AI pesaing daripada menggunakan alat dalam versi perniagaan WhatsApp untuk menjangkau pelanggan secara langsung.

Sekatan itu terpakai apabila AI adalah perkhidmatan utama yang ditawarkan, seperti dengan chatbot AI atau pembantu AI, walaupun syarikat masih boleh menggunakan alat AI untuk fungsi sokongan seperti khidmat pelanggan.

“Akibat polisi baharu ini, penyedia AI pesaing mungkin dihalang daripada menjangkau pelanggan mereka melalui WhatsApp.

“Sebaliknya, perkhidmatan AI Meta sendiri, ‘Meta AI’, akan terus boleh diakses oleh pengguna di platform tersebut,” kata Suruhanjaya Eropah.

WhatsApp menolak dakwaan bahawa polisi itu berisiko menjejaskan persaingan.

“Dakwaan itu tidak berasas. Kemunculan chatbot AI pada Business API kami meletakkan tekanan pada sistem kami yang tidak direka untuk menyokongnya.

“Walau bagaimanapun, ruang AI adalah sangat kompetitif dan orang ramai mempunyai akses kepada perkhidmatan pilihan mereka melalui pelbagai cara, termasuk kedai aplikasi, enjin carian, perkhidmatan e-mel, integrasi perkongsian, dan sistem pengendalian,” kata seorang jurucakap.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN