PARIS: Sebahagian besar rizab air Eropah semakin kering, dengan simpanan air tawar menyusut di seluruh selatan dan tengah benua, termasuk Sepanyol, Itali, Poland serta sebahagian United Kingdom (UK).
Saintis di University College London (UCL), bekerjasama dengan Watershed Investigations dan akhbar Guardian, menganalisis data 2002 hingga 2024 daripada satelit yang menjejaki perubahan medan graviti Bumi.
Penemuan itu menunjukkan ketidakseimbangan ketara, dengan kawasan utara dan barat laut menjadi lebih basah, manakala selatan serta tenggara Eropah, termasuk sebahagian UK, Sepanyol, Itali, Perancis, Switzerland, Jerman , Romania dan Ukraine, semakin kering.
Menurut data Agensi Alam Sekitar Eropah, jumlah air yang diambil dari permukaan dan bawah tanah di seluruh Kesatuan Eropah (EU) antara tahun 2000 dan 2022 menurun.
Namun, pengambilan air bawah tanah meningkat sebanyak enam peratus, disebabkan bekalan air awam (18 peratus) dan pertanian (17 peratus).
Air bawah tanah kini menyumbang 62 peratus daripada bekalan air awam dan 33 peratus bagi keperluan pertanian.
Jurucakap Suruhanjaya Eropah berkata, strategi ketahanan airnya bertujuan membantu negara anggota menyesuaikan pengurusan sumber air mereka dengan perubahan iklim dan menangani tekanan yang dihasilkan oleh manusia.
Strategi itu bertujuan membina ‘ekonomi pintar air’ dan digabungkan dengan cadangan suruhanjaya mengenai kecekapan air, yang menuntut peningkatan kecekapan sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang 2030.
“Amat membimbangkan melihat trend jangka panjang ini, kerana kita menyaksikan beberapa kemarau besar, dan musim sejuk mungkin akan menerima hujan yang lebih sedikit daripada biasa,” Profesor Hidrologi di Universiti Reading, Hannah Cloke.
Agensi Alam Sekitar memberi amaran England perlu bersedia menghadapi kemarau berterusan sehingga 2026, kecuali jika berlaku hujan lebat pada musim luruh dan sejuk.
Susulan tekanan yang semakin meningkat terhadap sumber air negara, Menteri Air UK, Emma Hardy berkata, kerajaan mengambil tindakan tegas, termasuk pembangunan sembilan empangan baharu untuk memastikan ketahanan air jangka panjang.
Bagaimanapun, Cloke menyifatkan pembangunan empangan besar yang hanya akan siap beberapa dekad lagi tidak akan menyelesaikan masalah dengan segera.
Di peringkat global, kawasan kering kini direkodkan di Asia Barat, Asia, Amerika Selatan, sepanjang pantai barat Amerika Syarikat (AS) dan seluruh Kanada, dengan Greenland, Iceland serta Svalbard juga menunjukkan trend kemarau yang ketara.– THE GUARDIAN










