Dunia desak Israel tamatkan pendudukan haram di Palestin

Dunia desak Israel tamatkan pendudukan haram di Palestin

PENDUDUK Palestin membawa barangan keperluan yang masih elok untuk berpindah ke penempatan sementara bagi mengelak tindakan kejam tentera Zionis. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suara majoriti dunia sekali lagi bergema di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila 151 negara me­ngundi dalam resolusi Penyelesaian Damai bagi persoalan Palestin, menuntut penamatan segera pendudukan Israel sejak 1967 serta mengiktiraf hak rak­yat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Menurut kedutaan Palestin dalam satu kenyataan, hanya 11 negara menolak dan 11 lagi berkecuali dalam undian yang dianggap paling tegas sejak Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan pendapat bahawa kehadiran Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

“Resolusi itu yang dimuktamadkan melalui dokumen turut menegaskan bahawa Israel wajib menghentikan semua aktiviti penempatan haram, me­ngundurkan semua peneroka, menamatkan tindakan ketenteraan serta mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, katanya, PBB menggesa semua negara anggota untuk tidak mengiktiraf apa-apa perubahan terhadap sempadan pra-1967, tidak membantu aktiviti penempatan haram dan memastikan tindakan Israel yang bertentangan undang-undang tidak diberi sebarang bentuk pengiktirafan.

“Resolusi itu menekankan bahawa Gaza merupakan bahagian sah wilayah Palestin yang diduduki dan menolak mana-mana percubaan mengubah demografi atau sempadannya,” katanya.

PBB turut menekankan usaha gencatan senjata yang dicapai baru-baru ini, namun menegaskan bahawa keamanan kekal mustahil selagi pendudukan berterusan.

Katanya, PBB menuntut Israel mengundurkan tentera dari semua wilayah Palestin, menyelesaikan isu pelarian mengikut Resolusi 194 dan memastikan hak Palestin terhadap sebuah negara merdeka dipulihkan tanpa syarat.

Pengundian besar-besaran itu mencerminkan perubahan drastik dalam sikap global ketika semakin banyak negara, termasuk di Eropah, mula mengiktiraf negara Palestin.

“Keputusan ini satu tekanan diplomatik terbesar terhadap Israel sejak beberapa dekad dan memberi mesej jelas bahawa dunia tidak lagi menerima status quo sebagai norma,” kata­nya.

Sementara itu, Malaysia yang konsisten dalam menyokong Palestin, menyifatkan keputusan ini sebagai bukti bahawa masyarakat antarabangsa semakin hilang sabar terhadap tindakan Israel serta mendesak penyelesaian segera berlandaskan formula dua negara.

Dengan situasi kemanusiaan di Gaza kekal kritikal, resolusi itu menjadi simbol bahawa perjuangan Palestin kini bukan lagi isu serantau, tetapi krisis moral global yang menuntut tindakan serta-merta, bukan sekadar kecaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×