LOS ANGELES: Seorang doktor di California dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana membekalkan ketamin secara haram kepada bintang sitkom Friends, Matthew Perry, ubat penenang kuat yang menyebabkan aktor itu meninggal dunia akibat terlebih dos pada 2023.
Hakim Sherilyn Peace Garnett menjatuhkan hukuman tersebut yang turut merangkumi dua tahun percubaan dan denda AS$5,600 (RM23,057) terhadap Dr Salvador Plasencia, 44, di mahkamah persekutuan Los Angeles.
Hakim menegaskan Plasencia bukan individu yang menyediakan ketamin, menyebabkan kematian Perry, namun berkata doktor tersebut dan beberapa individu lain membantu membawa Perry ke penghujung yang tragis dengan terus mendorong ketagihan.
“Awak mengambil kesempatan atas ketagihan Perry demi keuntungan sendiri,” katanya.
Plasencia digari dan dibawa keluar dari mahkamah sementara ibunya menangis di galeri.
Dia berkemungkinan dibenarkan menyerah diri pada tarikh lain, namun peguamnya berkata dia bersedia untuk berbuat demikian pada hari yang sama.
Ibu, ibu tiri dan dua adik perempuan Perry menyampaikan kenyataan impak mangsa dengan penuh emosi sebelum hukuman dijatuhkan.
“Kematian abang saya mengubah hidup saya sepenuhnya. Ia meninggalkan lohong besar dalam hidup saya. Ketiadaannya terasa di mana-mana,” kata adiknya, Madeline Morrison, sambil menangis.
Beliau turut mengulas kesan kematian itu terhadap masyarakat.
“Seluruh dunia bersedih atas pemergian abang saya. Dia adalah rakan kegemaran semua orang,” kata Morrison.
“Selebriti bukan anak patung plastik yang boleh dieksploitasi. Mereka manusia, mereka mempunyai keluarga,” tambahnya.
Perry bergelut dengan ketagihan selama bertahun-tahun sejak era kegemilangannya dalam Friends, ketika beliau menjadi salah seorang bintang paling popular generasinya sebagai Chandler Bing.
Beliau membintangi sitkom itu bersama Jennifer Aniston, Courteney Cox, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc dan David Schwimmer selama 10 musim dari 1994 hingga 2004 di NBC. -AGENSI










