KUCHING: Bantuan Kerajaan Sarawak kepada rumah-rumah ibadat agama lain yang disalurkan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan diteruskan tahun depan, meskipun banyak penerima yang gagal mengemukakan laporan mengenai penggunaan peruntukan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Premier selaku menteri bertanggungjawab terhadap UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah peruntukan baharu itu belum lagi diketahui.
“Sebenarnya, setiap tahun Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) akan memperuntukkan sejumlah dana kepada UNIFOR bagi memenuhi tanggungjawab kita membantu pelbagai rumah ibadat di Sarawak.
“Tahun ini, beliau memperuntukkan RM110 juta namun untuk tahun hadapan, kita belum tahu…beliau akan memaklumkannya tidak lama lagi.
“Beliau telah memberi jaminan kepada saya bahawa akan terus menyokong program yang dijalankan oleh UNIFOR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain 2025 Fasa 3 di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Cek bantuan berjumlah RM40.58 juta itu disampaikan oleh Uggah kepada 51 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk pelaksanaan sebanyak 138 projek.
Menurut Uggah, amat mengecewakan apabila ketika ini, terdapat 154 projek yang belum memberi apa-apa laporan mengenai status peruntukan yang diberikan kepada mereka.
Justeru, beliau menegaskan pihaknya akan terus memantau pelaksanaan projek-projek yang diagih di bawah UNIFOR bagi memastikan ia digunakan selaras dengan matlamat untuk membina semula atau membaik pulih rumah ibadat.
“Jadi kita minta mereka ini memberi laporan kepada kita dengan secepat mungkin.
“Ini kerana kita ada dasar…yang pertama, kalau peruntukan tahun itu belum dibelanja, kita tidak akan menimbang untuk permohonan tahun depan, begitu juga kepada projek-projek yang tidak memberi laporan,” katanya.
Uggah menegaskan perkara itu penting kerana ia melibatkan akauntabiliti dan tadbir urus.
Justeru, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang menerima bantuan itu agar menggunakannya mengikut seperti yang telah dicadang dan dirancang dalam permohonan, dan selepas itu mengemukakan laporan kepada UNIFOR.
“Ini supaya kita tahu perkembangan dan hala tuju rumah-rumah ibadat tersebut,” katanya. – UTUSAN










