Dituduh mencuri, keluarga diharam isi minyak kereta

Dituduh mencuri, keluarga diharam isi minyak kereta

KELUARGA Amjad Khan berdepan kesukaran mengisi minyak selepas 1,300 stesen menyekat kenderaan keluarganya.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebuah keluarga di Britain dilarang mengisi minyak di lebih 1,000 stesen selama lebih setahun selepas syarikat keselamatan stesen minyak terkemuka didakwa mengeluarkan tuntutan hutang kecurian bahan api palsu.

Amjad Khan dan keluarganya, disekat daripada menggunakan beberapa stesen minyak di sekitar Blackburn selama 19 bulan selepas dia didakwa meninggalkan sebuah stesen minyak Esso di Manchester tanpa membuat bayaran sebanyak 20 pound (RM109).

Syarikat VARS Technology, yang membekalkan kamera Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) serta perkhidmatan pemulihan hutang kepada satu daripada setiap lapan stesen minyak di United Kingdom (UK), menghantar surat kepada Nasim Khan, pemilik berdaftar kenderaan tersebut, pada Julai 2023.

Dalam surat itu, Nasim dimaklumkan dia perlu membayar kos bahan api berkenaan selain yuran pentadbiran sebanyak 30 pound (RM163), menjadikan jumlah tuntutan keseluruhan 50 pound (RM272).

Amjad, 58, menegaskan dia membayar minyak tersebut secara tunai dan terpaksa melalui pertikaian selama kira-kira setahun setengah dengan syarikat berkenaan.

Sepanjang tempoh itu, kenderaan pasangan tersebut disekat daripada lebih 1,300 stesen minyak yang menggunakan sistem VARS Technology, menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk mengisi minyak.

Nasim menyifatkan penolakan daripada stesen minyak sebagai ‘memalukan’, selain menjelaskan sistem penggera akan diaktifkan seolah-olah berlaku ‘serbuan bersenjata’ setiap kali mereka memasuki kawasan stesen yang menggunakan sistem keselamatan syarikat itu.

Semasa sesi pendengaran pengantaraan tuntutan kecil setahun kemudian, Amjad berkata, VARS Technology mengemukakan imej pegunnya mengisi minyak, dirakam oleh kamera ANPR syarikat itu, serta nota tulisan tangan oleh pekerja stesen sebagai bukti kecurian bahan api.

Namun, Amjad menjelaskan garis masa yang dikemukakan syarikat tersebut sebagai ‘tidak masuk akal’, memandangkan nota itu menyatakan dia meninggalkan stesen pada 10.28 malam, sedangkan imej ANPR menunjukkannya sedang mengisi minyak pada 10.31 malam.

Walaupun berusaha membuktikan mereka tidak bersalah, VARS Technology menarik balik tuntutan dan tidak meneruskan kes di mahkamah menyebabkan pasangan tersebut berdepan penganiayaan sebagai pengguna sepanjang tempoh lebih setahun.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN