SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) berdasarkan prestasi iaitu maksimum tiga bulan gaji kepada penjawat awam negeri ini.
Ia sebagai penghargaan atas prestasi dan sumbangan mereka dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bayaran itu merangkumi minimum dua bulan dan maksimum tiga bulan gaji yang akan disalurkan mulai bulan depan serta sebelum Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mac.
Manakala BKK berasaskan prestasi pula dibayar pada Jun tahun depan.
“Inisiatif ini simbol kesepaduan serta pengiktirafan terhadap kesungguhan setiap penjawat awam yang mencurahkan tenaga dalam memastikan kelancaran perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Penghargaan ini turut dipanjangkan kepada semua penjawat awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-16 di sini, hari ini.
Aminuddin hari ini membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 yang berimbang melibatkan anggaran hasil sebanyak RM610 juta dan anggaran belanja pembangunan sebanyak RM150 juta.
Bertemakan Belanjawan Madani Rakyat Harmoni, hasil bukan cukai dijangka kekal sebagai penyumbang utama dengan anggaran sebanyak RM372.6 juta, meningkat RM8.03 juta berbanding RM364.57 juta pada tahun ini.
Terimaan bukan hasil pula dijangka sedikit menurun kepada RM64.76 juta berbanding RM66.08 juta pada 2025.
Sementara itu, Aminuddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyalurkan bantuan sekali bayar (one-off) RM1,000 kepada pesakit kanser yang layak,
Katanya, inisiatif baharu itu digerakkan susulan jumlah pesakit kanser yang semakin meningkat selain mengambil kira kos rawatan yang tinggi.
“Saya melihat banyak permohonan serta aduan berkaitan pesakit kanser yang terus meningkat saban tahun. Penyakit ini kritikal dan melibatkan kos besar. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu pengangkutan, makan dan minum pesakit ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.
Bantuan tersebut terbuka kepada pesakit kanser yang disahkan hospital dan merupakan anak jati Negeri Sembilan.










