BKK diperluas kepada guru Tadika Islam, Guru Aiman

BKK diperluas kepada guru Tadika Islam, Guru Aiman

SAARANI Mohamad ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini diperluaskan kepada guru Tadika Islam, Guru Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (Aiman) dan Guru Agama Dakwah yang ditadbir urus oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) iaitu pada kadar RM400.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BKK turut diberikan kepada pegawai dan kakitangan berstatus lantikan Contract For Services (CFS) pada kadar dua bulan gaji.

“Turut menerima BKK ialah dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di bawah tanggungan kerajaan negeri, juga pada kadar dua bulan gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan 2026 Negeri Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 Perak Selasa lalu, Saarani mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini.

Insentif berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada peranan dan khidmat besar penjawat awam dalam memastikan kelangsungan pentadbiran negeri.

Bantuan khas itu meliputi semua penjawat awam negeri termasuk Ahli-ahil Ex Officio, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta kakitangan lantikan MySTEP.

Saaarani berkata, bagi pemimpin masyarakat iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin akan menerima bantuan khas sama pada kadar RM600.

“Bantuan khas ini juga dipanjangkan kepada semua guru KAFA, guru I’dadi dan Thanawi pada kadar RM400,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu.

Semua bayaran BKK akan dibuat pada bulan ini manakala untuk Pusat Khidmat DUN pula pada Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN