PETALING JAYA: Belum tiba masa untuk MCA keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan bergerak secara solo atau bersendirian, sebaliknya perlu bersama-sama menguatkan jentera gabungan itu.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, MCA bersama parti-parti komponen BN termasuk UMNO perlu menguatkan jentera dan terus merangka pelan untuk menarik sokongan rakyat sebelum tiba pilihan raya nanti.
“Hendak cakap tentang keluar atau tidak, di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, BN tetap bertanding secara bersendirian. Ini bermakna masih tidak ada keputusan muktamad sama ada akan terus menjalin kerjasama bersama parti luar.
“Lebih penting untuk memperkukuh gerak kerja secara keseluruhan. Sebagai contoh, untuk menarik pengundi Cina memerlukan usaha BN bukan gerak kerja MCA sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, MCA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan bersama BN sekiranya UMNO terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama di luar gabungan itu terutama DAP.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bersedia bergerak solo jika gabungan politik itu terus menyokong dasar kerajaan membebankan rakyat yang dilihat melemahkan kedudukan dan bercanggah dengan pendirian parti.
Lian Ker berkata, beliau tidak bersetuju dengan Ka Siong yang menggunakan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MCA untuk menyerang DAP dan bukan untuk menetapkan semula arah tuju parti.
Katanya, kritikan terhadap parti lawan sepatutnya diserahkan kepada akar umbi dan penganalisis politik sahaja.
“AGM sepatutnya memberi tumpuan kepada reformasi taktikal dan radikal, bukan nostalgia politik. Semua menunggu untuk mendengarkan pelan masa depan MCA dan kepimpinannya.
“Para perwakilan mahukan kesinambungan kepimpinan dan mahu mengelakkan satu lagi krisis kepimpinan MCA yang pernah melemahkan parti sebelum ini. Krisis kepimpinan sudah pun mula berputik dan semua orang sedang diam-diam mengelak isu besar ini sedangkan ia sangat penting untuk masa depan parti,” katanya.-UTUSAN.










