Belanjawan Perlis: Inklusif, solidariti dan kebangkitan semula

Belanjawan Perlis: Inklusif, solidariti dan kebangkitan semula

MOHD. Shukri Ramli (dua dari kiri) pada sidang DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Perlis berakhir semalam menyaksikan pembentangan Belanjawan Perlis 2026 bertemakan Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera.

Ia merupakan kesinambu­ngan kepada belanjawan terdahulu dengan memperuntukan sebanyak RM359.58 juta iaitu tertinggi pernah dibentangkan. Peruntukan meningkat seba­nyak RM57.20 juta berbanding 2025.

Meskipun diunjurkan menga­lami defisit sebanyak RM26.83 juta pada 2026, jumlah tersebut masih pada kadar terendah jika dibandingkan dengan belanjawan pada lima tahun lalu. Ia disifatkan belanja tertinggi, defisit terendah.

Lebih membanggakan, Perlis turut mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif bagi tahun 2024 berjumlah RM6.5 bilion berbanding RM 6.3 bilion pada 2023 iaitu merekodkan pertumbuhan 3.3 peratus.

Sidang kali ini juga cukup berbeza dengan semangat solidariti yang cukup kuat selepas Perlis berdepan banjir besar yang disifatkan terburuk dalam tempoh 15 tahun. Tumpuan juga diberikan kepada kebangkitan semula negeri ini selepas dilanda bencana yang dahsyat itu.

Banjir melanda Perlis itu meninggalkan kesan kemusnahan yang dahsyat dengan kerugian dianggar melebihi RM200 juta.

Selain penghargaan kepada seluruh agensi kerajaan dan negeri, anggota keselamatan, pertubuhan bukan kerajaan, wakil rakyat, pemimpin politik, wakil penduduk dan sukarelawan, pujian dan penghargaan juga harus diberikan kepada keberkesanan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang berjaya menangani bencana dengan baik serta gerak kerja cukup tersusun.

Meskipun berdepan banjir besar yang menyaksikan lebih 9,000 mangsa terjejas dan pelbagai kemusnahan lain, namun tidak banyak rungutan diterima, semua berjalan dengan lancar dan kini tumpuan diberikan kepada pembangunan semula pasca banjir tersebut.

Secara keseluruhan, belanjawan kali ini dilihat antara terbaik, realistik dan inklusif demi kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Selain peruntukan RM10.45 juta bagi pelaksanaan beberapa projek strategik yang dirangka untuk meningkatkan ketahanan negeri terhadap bencana, pelbagai program diumumkan untuk manfaat rakyat seperti sumba­ngan beras prihatin Perlis dengan peruntukan RM105,000.

Isu air yang sering mendapat rungutan terus dipertingkat peruntukan iaitu sebanyak RM28.65 juta bagi memper­tingkat infrastruktur bekalan air selain pelbagai lagi peruntukan lain untuk sektor pertanian, dan pelancongan.

Setiap dasar dan program dirangka dalam belanjawan ini telah mengambil kira keperluan sebenar rakyat bagi memastikan kebajikan akses yang adil kepada peluang ekonomi, perkhidmatan sosial dan pembangunan modal insan.

“Kita meneruskan kesinambungan belanjawan terdahulu dan menambah baik agar memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat,” kata Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN