Belanjawan Pahang 2026 bukti kerajaan negeri utamakan rakyat – Mohamad Zaini - Utusan Malaysia

Belanjawan Pahang 2026 bukti kerajaan negeri utamakan rakyat – Mohamad Zaini

MOHAMAD ZAINI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Jumaat lalu berpaksikan kesejahteraan rakyat, kelestarian ekonomi dan pembangunan inklusif yang merangkumi semua lapisan masyarakat di negeri ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, belanjawan bertemakan “Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan” itu mencerminkan kesinambungan dasar pembangunan mampan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, sekali gus menolak tanggapan bahawa ia bersifat politik.

“Peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.274 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM446.26 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri memperkukuh projek pembangunan. Peningkatan 11.67 peratus berbanding tahun lalu adalah bukti keseriusan kerajaan,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Zaini berkata, sasaran kutipan hasil sebanyak RM1.279 bilion, meningkat tujuh peratus berbanding Belanjawan 2025, adalah langkah tepat melalui pengurusan hasil yang cekap dan usaha memperluas sumber pendapatan negeri.

Dalam aspek infrastruktur, katanya, peruntukan RM455 juta bagi penyelenggaraan jalan negeri, perbandaran, pertanian dan kampung akan memberi manfaat besar kepada rakyat luar bandar serta memperkukuh jaringan ekonomi negeri.

“Isu bekalan air juga diberi perhatian dengan peruntukan RM64.54 juta melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP). Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan malah memastikan rakyat menikmati program air percuma,” jelasnya.

Beliau menambah, tujuh teras utama pembangunan negeri yang digariskan termasuk pemerkasaan Islam, pemeliharaan institusi diraja, pengukuhan warisan budaya, pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar dan pengukuhan tadbir urus adalah pendekatan menyeluruh yang seimbang.

“Peruntukan RM235.95 juta bagi memperkukuh Islam sebagai paksi kehidupan, meningkat 20.35 peratus berbanding tahun sebelumnya, jelas menunjukkan kerajaan negeri yang serius dalam pembangunan institusi agama dan sokongan kepada masjid serta surau,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penekanan terhadap sektor ekonomi, khususnya pertanian, pelancongan dan industri kecil sederhana (IKS) yang diyakini mampu menjadikan Pahang berdaya saing serta berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi global.

“Insentif seperti bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri serta sokongan kepada belia dan masyarakat luar bandar adalah langkah meringankan beban rakyat. Ini membuktikan belanjawan kali ini benar-benar dari rakyat untuk rakyat,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN