POKOK SENA: Golongan orang diparol (ODP) dan orang bebas berlesen (OBB) menjadi rebutan dalam kalangan majikan di Kedah yang bersedia menggaji mereka dengan menawarkan gaji minimum mengikut kepakaran masing-masing.
Pengarah Penjara Kedah, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Charin Promwichit berkata, ketika ini sebanyak 1,407 bekas banduan dan banduan daripada golongan tersebut diterima bekerja di 120 syarikat seluruh negeri ini.
“Trend ini sejak pandemik Covid-19 dahulu apabila berlaku sekatan ke atas pekerja asing sehinggakan pihak penjara tidak menang tangan. Dua hari lepas saya berkunjung ke sebuah syarikat kurier di Kulim dan seramai 80 bekas banduan bekerja di sana.
“Ia sebahagian program pemulihan dalam komuniti Jabatan Penjara yang dapat meramaikan lagi prospek (bekas banduan) ini dalam komuniti,” katanya pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Krismas di Penjara Pokok Sena, hari ini.
Sebanyak 25 banduan terpilih untuk kembali ke pangkuan keluarga lebih awal berbanding tarikh tamat hukuman masing-masing di samping terdapat juga yang diambil bekerja oleh majikan.
Charin berkata, mereka kini bekerja dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, perladangan dan perkilangan.
“Banduan ini menjadi pilihan kerana berdisiplin dan berkemahiran setelah menjalani pemilihan serta latihan ketika menjalani hukuman di penjara. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti syarikat apabila mereka tidak perlu dilatih.
“Selain itu pihak penjara akan sentiasa melakukan pemantauan dan seliaan ke atas mereka kerana mereka tidak dilepaskan sepenuhnya. Program seumpama ini berguna dalam menjana ekonomi negara dan keluarga masing-masing,” jelasnya.-










