Bangladesh henti pindah pelarian Rohingya ke pulau terpencil

Bangladesh henti pindah pelarian Rohingya ke pulau terpencil

PELARIAN Rohingya terkandas di atas bot selepas masyarakat berhampiran memutuskan untuk tidak membenarkan mereka mendarat di Pineung, wilayah Aceh, pada 16 November 2023.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Lima tahun selepas Bangladesh melancarkan projek bernilai jutaan dolar untuk memindahkan pelarian Rohingya ke pulau terpencil Bhasan Char, kerajaan kini menggantung pelan kontroversi itu selepas mendapati ia tidak mampan.

Pulau yang terbentuk secara semula jadi kira-kira 20 tahun lalu itu terletak lebih 60 kilometer (km) dari tanah besar dan dibangunkan untuk menampung sehingga 100,000 pelarian dari kem padat penduduk di Cox’s Bazar.

Pemindahan bermula pada Disember 2020, walaupun mendapat bantahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi kemanusiaan yang memberi amaran mengenai risiko banjir dan taufan serta terasing daripada perkhidmatan kecemasan.

Sehingga Oktober 2024, lebih 38,000 pelarian ditempatkan di pulau itu melalui siri pemindahan.

Projek itu dipelopori kerajaan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, yang digulingkan tahun lalu, dan pentadbiran baharu kini menangguhkannya tanpa tempoh masa ditetapkan.

“Kerajaan Bangladesh tidak akan meneruskan sebarang pemindahan pelarian Rohingya ke pulau Bhasan Car. Sebab utama ialah kerajaan semasa menilai projek itu tidak mampan,” katanya Pesuruhjaya Bantuan Pelarian dan Pemulangan di Cox’s Bazar, Mizanur Rahman, kepada Arab News.

Keputusan kerajaan itu dibuat berdasarkan data daripada agensi PBB, yang menunjukkan operasi di Bhasan Char melibatkan kos 30 peratus lebih tinggi berbanding kem di Cox’s Bazar.

“Sebaliknya, pelarian Rohingya tidak datang secara sukarela untuk dipindahkan ke pulau itu. Ramai daripada mereka yang sebelum ini dipindahkan melarikan diri … Kini kira-kira 29,000 orang tinggal di pulau itu, manakala sekitar 10,000 telah kembali ke Cox’s Bazar secara sendiri,” katanya.

Pelarian Rohingya, yang merupakan kumpulan etnik minoriti beragama Islam, mendiami wilayah Rakhine di barat Myanmar selama berabad-abad tetapi dilucutkan kewarganegaraan pada 1980-an dan sejak itu menghadapi penindasan sistemik.

Di Bhasan Char, kerajaan Bangladesh membelanjakan anggaran AS$350 juta (RM1.4 bilion) untuk membina bangunan kediaman konkrit, pusat perlindungan taufan, jalan raya, sistem air bersih, dan infrastruktur lain, keadaan hidup lebih baik berbanding kem yang daif.

Namun begitu, tiada perkhidmatan pengangkutan tetap ke pulau itu, penduduknya tidak dibenarkan bergerak bebas, dan peluang untuk mencari nafkah adalah terhad serta bergantung kepada bantuan dari tanah besar.

“Memandangkan semua aspek, kita boleh katakan pemindahan pelarian Rohingya ke Bhasan Char kini dihentikan. Selepas kejatuhan rejim Sheikh Hasina, hanya satu kumpulan pelarian Rohingya dipindahkan ke pulau itu,” kata Rahman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN