KUALA LUMPUR: Daging ayam belanda dari Russia kini berada di pasaran tempatan setelah melepasi proses audit dan pemeriksaan ketat termasuk pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama perdagangan Malaysia-Russia yang diterajui oleh 3Bumi Trading Sdn. Bhd. itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh keterjaminan makanan dan memperkasa ekosistem halal negara.
Katanya, inisiatif berkenaan merupakan hasil usaha berterusan kerajaan bersama pihak berkuasa Russia bagi memastikan bekalan ayam Belanda yang diimport memenuhi keperluan halal serta piawaian keterjaminan makanan negara.
“Jakim telah menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan di Russia termasuk melaksanakan audit dan pemeriksaan menyeluruh meliputi aspek kesihatan ternakan, keselamatan makanan dan pematuhan halal di peringkat ladang.
“Ia termasuk pemprosesan bagi memastikan ayam belanda yang diimport bebas daripada penyakit dan mematuhi standard halal Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Ayam Belanda Halal Russia di sebuah restoran di Bangsar di sini semalam.
Mohamad berkata, Kerajaan memberi penekanan serius bagi memastikan ayam belanda yang diimport bebas daripada sebarang penyakit dan memenuhi standard halal Malaysia.
“Setakat ini, sebanyak 5.1 tan ayam belanda telah diimport dan daging yang dibawa masuk ketika ini adalah ayam muda dengan berat sekitar tujuh kilogram manakala ayam belanda dewasa boleh mencecah sehingga 22 kilogram,” katanya.
Menurut beliau, kemasukan ayam belanda halal ini turut menunaikan komitmen lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Russia pada Mei lalu bagi membolehkan rakyat menikmati ayam belanda berkualiti pada musim perayaan Krismas.
Katanya, pengimportan ayam belanda halal itu seiring dengan usaha kerajaan mempelbagaikan sumber makanan negara serta memperkukuh hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Russia.-UTUSAN.









