KYIV: Amerika Syarikat (AS) mencadangkan Ukraine berundur dari wilayah timur Donetsk dan mewujudkan ‘zon ekonomi bebas’ di kawasan yang kini berada di bawah kawalannya.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, wilayah itu serta kawalan ke atas loji tenaga nuklear Zaporizhzhia kekal sebagai dua isu utama yang belum diselesaikan dalam cadangan pelan damai untuk negara itu.
Sebelum ini, AS pernah mencadangkan supaya Kyiv menyerahkan bahagian Donbas yang masih dikuasainya kepada Russia, namun Zelensky pada Khamis berkata Washington kini mencadangkan versi kompromi di mana tentera Ukraine akan berundur, tetapi pasukan Russia tidak akan mara memasuki wilayah tersebut.
Dalam satu taklimat kepada pemberita, Zelensky mengulas keinginan AS untuk menamatkan konflik dengan segera, kesulitan yang sedang berlangsung, serta keyakinan terhadap Russia tidak berhasrat menghentikan perang.
Ukraine menghantar kepada AS pelan terkini mengandungi 20 perkara berserta dokumen berasingan mengenai jaminan keselamatan dan peruntuhan bagi usaha pembinaan semula Ukraine, katanya.
Ia susulan aktiviti diplomatik peringkat tinggi selama berminggu-minggu menyaksikan beberapa pelan keamanan dirangka, diselaraskan dan disemak semula oleh pemimpin AS, Ukraine, Russia dan Eropah.
“Peringkat terakhir adalah yang paling sukar. Segala-galanya boleh gagal atas pelbagai sebab,” kata Zelensky.
Russia menuntut agar Ukraine melepaskan kawalan ke atas kira-kira 30 peratus wilayah timur Donetsk yang masih dikuasainya, langkah ditolak Ukraine kerana bimbang penyerahan itu memberi Moscow kedudukan strategik untuk pencerobohan baharu.
Bagaimanapun, Zelensky menegaskan tidak adil bagi pihak Ukraine untuk berundur secara unilateral, dan Russia juga sepatutnya berundur dengan jarak yang sama.- BBC










