AS, Israel dan Eropah sedang perangi Iran - Masoud Pezeshkian

AS, Israel dan Eropah sedang perangi Iran – Masoud Pezeshkian

MASOUD PEZESHKIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mendakwa Amerika Syarikat (AS), Israel dan Eropah sedang melancarkan perang berskala penuh terhadap negaranya.

Kenyataan itu dibuat pada Sabtu, menjelang pertemuan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan Presiden AS, Donald Trump, yang dijadualkan berlangsung pada Isnin.

Kenyataan tersebut juga hadir enam bulan selepas Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran, serta susulan tindakan Perancis, Jerman dan United Kingdom yang mengembalikan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran pada September lalu berhubung program nuklearnya.

“Pada pandangan saya, kita sedang berdepan perang berskala penuh dengan AS, Israel dan Eropah. Mereka tidak mahu negara kita berdiri di atas kaki sendiri,” kata Pezeshkian dalam satu wawancara dengan laman rasmi Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Beliau berkata, angkatan tentera Iran sedang melaksanakan tugas mereka dengan penuh kekuatan dan kini berada dalam keadaan lebih kukuh dari segi peralatan dan tenaga manusia, walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Jadi, jika mereka mahu menyerang, mereka secara semula jadi akan berdepan tindak balas yang lebih tegas,” katanya.

Menurut Pezeshkian, konflik yang dihadapi Iran ketika ini berbeza daripada peperangan terdahulu.

“Perang ini lebih buruk daripada perang Iraq terhadap kami. Jika difahami dengan mendalam, perang ini jauh lebih kompleks dan sukar berbanding konflik itu,” katanya, merujuk kepada perang Iran-Iraq dari 1980 hingga 1988 yang mengorbankan ribuan nyawa.

AS dan sekutunya menuduh Iran berusaha memperoleh senjata nuklear, dakwaan yang berulang kali dinafikan Teheran.

Israel dan Iran sebelum ini terlibat dalam konflik selama 12 hari pada Jun lalu yang tercetus susulan serangan besar-besaran Israel ke atas sasaran ketenteraan dan nuklear Iran, termasuk kawasan awam. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN